Perutusan Aidiladha 1445H Menteri Besar Kedah

- Advertisement -

- Advertisement -

الله اكبر الله اكبر
الله اكبر ولله الحمد
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Selamat Meraikan Aidil Adha buat umat Islam yang saya kasihi khususnya di Negeri Kedah Darul Aman.

Sejak semalam iaitu pada Hari Arafah kita telah mula menunaikan pelbagai ibadah sunat menyertai saudara kita yang melaksanakan ibadah Haji di Tanah Suci Mekah.

Antara ibadah sunat yang paling afdal pada Hari Arafah ialah berpuasa dan berdoa sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Abdullah bin Amr’ bahawa “sebaik-baik doa adalah pada Hari Arafah”.

Kita juga disunatkan untuk bertakbir Muqayyad bermula selepas solat Subuh pada 9 Zulhijjah, dan diteruskan setiap kali selepas solat fardu hingga waktu Asar 13 Zulhijjah.

Selain itu, sebagaimana yang kita sedia maklum, Aidil Adha adalah hari di mana setiap orang yang berkemampuan diseru untuk melaksanakan ibadah korban pada hari-hari Tasyrik bermula 10 hingga 13 Zulhijjah.

Keutamaan kita dalam melaksanakan ibadah korban adalah dengan memberi makan kepada golongan fakir dan miskin. Ini amat signifikan dalam suasana kenaikan kos hidup terutama harga barangan keperluan yang disebabkan oleh penarikan subsidi diesel baru-baru ini.

Justeru, dalam keadaan ini, saya ingin mengingatkan bahawa adalah amat penting bagi kita untuk kembali kepada falsafah ibadah korban iaitu membantu golongan kurang berkemampuan.

Sebagai orang beriman, kita perlu meyakini janji-janji Allah bahawa tidak akan berkurang bagi sesiapa yang ikhlas bersedekah kepada saudaranya yang memerlukan malah akan bertambah.

Justeru jika kita ada kemampuan atau lebihan wang, walaupun sedikit, sedekahlah. Dengan itu mudah mudahan kita bukan sahaja akan dapat pahala sebagai bekalan akhirat malah juga akan ditambahkan rezeki di dunia.

Inilah falsafah yang kita cuba terapkan dengan usaha menjadikan Negeri Kedah sebagai ‘Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti’.

Dengan masyarakatnya hidup dalam suasana berkasih sayang dan sentiasa prihatin antara satu sama lain, kita mahu Kedah menjadi negeri impian dan dambaan semua orang.

Sempena Aidil Adha ini, marilah kita sama-sama menjiwai semangat pengorbanan untuk sama-sama sanggup bersusah payah dalam meringankan beban sesama kita, mudah-mudahan dengan itu Allah SWT akan menurunkan rahmat dan mempermudahkan urusan kita semua dunia akhirat.

Inilah masanya untuk kita menjiwai semangat pengorbanan dan kesanggupan untuk membantu saudara kita yang sedang dalam kesusahan, terutama saudara kita di Palestin yang sedang dibantai Zionis Laknatullah.

Jadikanlah Hari Raya ini untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengeratkan lagi kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di hari akhirat.

Maaf zahir dan batin.
Sekian.
وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

HAJI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 17/6/2024

- Advertisement -