Penghayatan makna sebuah pengorbanan

Perutusan Aidiladha 1445 Hijrah / 2024 Masihi Menteri Besar Terengganu Darul Iman

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH, kita dipertemukan sekali lagi dengan Hari Raya Aidiladha, hari yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghayati makna sebenar di sebalik perayaan ini.

Aidiladha adalah perayaan yang penuh makna dan hikmah. Ia mengingatkan kita tentang kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Sirah ini mengajarkan kita tentang ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan sebagai hamba untuk menunaikan perintah Allah SWT dalam setiap aspek kehidupan kita.

- Advertisement -

Ibadah korban yang kita laksanakan adalah simbol kepada kesediaan kita untuk berkorban demi kebaikan dan kebahagiaan orang lain. Ia juga merupakan manifestasi rasa syukur kita atas segala nikmat yang telah Allah SWT berikan. Syukur Alhamdulillah bagi mereka yang dikurniakan rezeki menyertai ibadah korban tahun ini.

Di sebalik kegembiraan menyambut Aidiladha, kita juga harus mengenang pengorbanan yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Sudah pasti setiap daripada kita telah melakukan pengorbanan dalam posisi masing-masing sama ada sebagai anak, ibu bapa, majikan, pekerja dan sebagainya. Pada masa ini juga, kita dapat lihat pengorbanan hebat saudara kita di Palestin yang sedang berjuang mempertahankan tanah air umat Islam.

Semoga Aidiladha kali ini membawa keberkatan dan kebahagiaan kepada kita semua. Saya berharap kita semua akan terus berusaha menanamkan nilai-nilai pengorbanan dalam diri, kerana itulah kunci kepada sebuah masyarakat yang harmoni dan negeri yang maju.

Akhir kata, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha, maaf zahir dan batin. Semoga kita semua terus diberkati dan dirahmati Allah SWT.

‘Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera’

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
17 Jun 2024 / 10 Zulhijjah 1445H – HARAKAHDAILY 17/6/2024

- Advertisement -