Hayati pengorbanan bersama sirah para Rasul

- Advertisement -

ARAU: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dalam perutusan Aidiladha beliau berkata, pengorbanan sebenar perlu dihayati bersama melalui perjalanan sirah para Rasul.

- Advertisement -

“Bermula dengan pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim AS dalam kisah agung antara baginda dengan anaknya, Nabi Ismail AS, kisah agung ini menjadi panduan bagi umat Islam dalam melaksanakan ibadah korban,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri, menekankan bahawa umat wajib menghayati sirah pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyampaikan Islam.

“Bermula dengan bilangan yang kecil, akhirnya Rasulullah SAW diberi amanah yang paling besar dalam memimpin dunia, begitulah dakwah, walaupun pada awal kita menyampaikan Islam, pasti akan ada golongan yang tidak selesa dengannya.

“Alhamdulillah, tekad kerajaan negeri dalam kempen Hayya Ala Solah adalah untuk mengajak seluruh masyarakat, khususnya rakyat Muslim negeri Perlis, untuk mendekatkan diri kepada pencipta-Nya,” ujarnya lagi

Beliau juga yakin bahawa usaha kecil itu, walaupun belum popular di kalangan rakyat Perlis, tetap akan berjaya kelak.

“Ini adalah satu proses. Saya mengimpikan rakyat negeri ini yang mengutamakan solat dari segalanya. Bermula dengan solat, Allah pasti akan memberkati kehidupan kita.

“Allah akan mengurniakan sesuatu nikmat yang tidak kita jangka buat negeri yang penuh barokah ini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 17/6/2024

- Advertisement -