Aidiladha: Bantu sesama saudara seIslam

- Advertisement -

ALOR SETAR: Umat Islam diingatkan agar kembali kepada falsafah ibadah korban iaitu membantu golongan kurang berkemampuan, seru Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Menurutnya lagi, sebagai orang beriman, umat Islam wajib meyakini janji-janji Allah bahawa tidak akan berkurang bagi sesiapa yang ikhlas bersedekah kepada saudara memerlukan, malah akan ditambah rezekinya.

“Aidiladha adalah hari di mana setiap orang berkemampuan diseru untuk melaksanakan ibadah korban pada hari-hari Tasyrik bermula 10 hingga 13 Zulhijjah.

“Keutamaan kita dalam melaksanakan ibadah korban adalah dengan memberi makan kepada golongan fakir dan miskin,” kata beliau.

Tegasnya lagi, umat Islam juga diseru agar melakukan sedekah walaupun sedikit kerana dengan amalan itu bukan sahaja mendapat ganjaran di sisi Allah, malah akan ditambah rezeki ketika di dunia.

Apatah lagi tambahnya, disaat rakyat Malaysia dibelenggu kenaikan harga dan kos sara hidup terutama keputusan Kerajaan Persekutuan menarik subsidi diesel, sekali gus harga bahan bakar itu meningkat.

“Sempena Aidiladha ini, marilah kita sama-sama menjiwai semangat pengorbanan, sanggup bersusah payah dalam meringankan beban sesama kita, mudah-mudahan dengan itu, Allah SWT akan menurunkan rahmat dan mempermudahkan urusan kita semua dunia akhirat.

“Dengan masyarakatnya hidup dalam suasana berkasih sayang dan sentiasa prihatin antara satu sama lain, kita mahu Kedah menjadi negeri impian dan dambaan semua orang.

“Inilah falsafah yang kita cuba terapkan dalam usaha menjadikan Kedah sebagai ‘Negeri Tempat Orang Miskin Berteduh, Tempat Orang Kaya Menabur Bakti’,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu kata Sanusi, umat Islam juga perlu menjiwai semangat pengorbanan dan kesanggupan untuk membantu saudara seIslam yang sedang dalam kesusahan, terutama di Palestin yang sedang dibantai kejam rejim Zionis laknatullah.

Oleh itu ujar beliau, jadikanlah Aidiladha ini sebagai jambatan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengeratkan kasih sayang dan semangat persaudaraan Islam yang membawa berkat kepada kehidupan di dunia dan keselamatan di hari akhirat. – HARAKAHDAILY 17/6/2024

- Advertisement -