Tak tahu bawa negara ke mana, hanya sembang

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Kerajaan memberi reaksi untuk mengadakan sesi libat urus setelah menerima banyak rungutan dari sektor yang menggunakan diesel menunjukkan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKSD) 2.0 tidak datang dengan perancangan yang teliti dan rapi.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sepatutnya kerajaan mengadakan sesi libat urus terlebih dahulu sebelum mengumumkan sesuatu dasar hendak dibuat, serta mempunyai kerangka yang jelas sebelum dilaksanakan.

Beliau membidas pemimpin kerajaan kini hanya tahu ‘sembang’ atau terlebih pandai bercakap tetapi tidak tahu untuk mengurus atau melakukan perkara tersebut, selain tidak mempunyai perancangan serta tindakan yang benar-benar jelas.

Ahli Parlimen Putrajaya ini memberikan contoh mengenai sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dikendalikan Kementerian Ekonomi dan Bantuan Subsidi Madani (BUDI) di bawah Kementerian Kewangan di mana menghendaki rakyat mengisinya.

Kata beliau, kedua-dua sistem dibina dengan tujuan sama dengan meminta begitu banyak maklumat, tetapi apabila dipersoal mengenai pengesahan, pihak kerajaan menyatakan ia tidak diperlukan, tetapi hanya sebagai tinjauan sahaja.

“Ini adalah manifestasi bahawa kerajaan ini tak tahu dia nak bawa negara ini ke mana. Dia sembang nak buat subsidi bersasar, tapi dia tak tahu macam mana nak buat. Sebab itu kita lihat kerajaan ini banyak bercakap.

“Apabila kita turun ke bawah ramai mengeluh (mengenai kenaikan harga diesel),” ujarnya pada Majlis Pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.20 DUN Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini malam tadi.

Mengupas lanjut isu, Dr Radzi menyatakan dilema dihadapi banyak sektor yang menghadapi pertambahan kos operasi akibat kenaikan harga diesel, malah kegunaan semasa juga melebihi kuota diperuntukkan kerajaan kepada mereka.

Jelas beliau, tanggungan sedemikian itu menyebabkan sektor berkaitan terdesak dan tiada pilihan melainkan terpaksa menaikkan harga, malangnya kerajaan memberi amaran untuk mengambil tindakan sekiranya mereka berbuat demikian.

Beliau memberi contoh sektor logistik dan pengangkutan awam di mana penggunaan diesel kenderaan adalah mewakili 30 hingga 35 peratus kos operasi syarikat terlibat, tetapi dengan kenaikan terkini harga diesel, berlaku pertambahan lagi 19.6 peratus.

“Maknanya apa? Setiap RM100 kos asal, kos tambahan yang perlu ditanggung adalah RM19.60. Tapi kerajaan kata harga barang tak akan naik, harga sayur, buah-buahan takkan naik,” ujarnya memperincikan rantaian bekalan dah penggunaan diesel sektor tersebut.

Ulas beliau lagi, kenaikan kos yang ditanggung itu tetapi dilarang mengenakan harga baharu jualan bermakna telah menyebabkan pihak terbabit terpaksa berdepan kerugian hampir 20 peratus. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -