Subsidi diesel: Soalnya bagaimana kerajaan uruskan?

- Advertisement -

SEREMBAN: Persoalan mengenai pemansuhan subsidi diesel ataupun Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 bukan berkaitan isu pemansuhan semata-mata, tetapi cara kerajaan menguruskannya.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Md Zain berkata, walaupun penyasaran itu perlu, namun terlalu banyak kelemahan berlaku di pihak kerajaan dalam proses pelaksanaannya hingga menyusahkan rakyat.

“Secara dasar dan perancangan jangka masa panjang, saya bersetuju dengan pendekatan subsidi bersasar termasuk SKDS menggantikan subsidi pukal yang diamalkan selama ini.

“Ini selari dengan usaha untuk memastikan subsidi diberikan kepada  kelompok tertentu yang benar-benar memerlukan sahaja, berdasarkan kriteria atau syarat tertentu,” katanya.

Menurut beliau, ia adalah salah satu keperluan dalam penstrukturan semula ekonomi semasa dan akan datang agar negara berpijak di bumi yang nyata.

“Yang menjadi persoalan bukan ‘apa’, tetapi ‘bagaimana’ kerajaan melaksanakan langkah ini? Antara kelemahan kerajaan dalam pelaksanaan langkah ini ialah kerajaan bersikap tidak konsisten dalam pelaksanaannya.

“Kita sendiri melihat bila khabar angin bertiup, kerajaan masih menafikan. Tetapi selepas memenangi PRK Kuala Kubu Baru, kerajaan menyatakannya dengan notis pelaksanaan yang singkat dan secara tiba-tiba,” kesalinya.

Beliau yang kini sedang berada di Tanah Suci mengerjakan ibadah Haji berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Tambah beliau, ada aduan bahawa terdapat golongan yang bukan dari golongan kaya atau warga asing yang tercicir dari Budi Madani (Individu dan Agro-Komoditi) dan fleet card, selain bantuan BUDI Madani pula disifatkan tidak sewajarnya pada kadar rata RM200 kepada semua pihak.

“Saya sebenarnya tertanya-tanya apa peranan pangkalan data PADU yang sepatutnya boleh membuat analisa multi-dimensi iaitu seperti pendapatan, tujuan penggunaan, lokaliti dan jarak, serta jenis dan kuasa enjin kenderaan dan lain-lain dalam membuat pengkelasan yang unik bagi setiap rakyat.

“Ada yang berpandangan sewajarnya kenaikan harga diesel dibuat secara berperingkat, bukan mendadak seperti yang telah berlaku, namun hujah itu dilawan dengan ia lebih memudaratkan kerana mungkin menyebabkan harga barang atau perkhidmatan lain akan naik beberapa kali,” ujar beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu menambah, kelemahan paling ketara adalah berkaitan ketelusan, keikhlasan dan penerangan kerajaan, mungkin berpunca daripada rasa tidak yakin dalam memberi penerangan telus.

Jelasnya, perkara itu mungkin berpunca daripada sejarah mereka yang pernah satu ketika dulu menjadi pihak yang paling kuat menentang penarikan subsidi kepada rakyat.

“Kerajaan melalui agensi penguat kuasa perlu aktif di lapangan untuk mengawal kenaikan harga luar biasa rentetan kenaikan harga diesel melalui SKDS 2.0.

“Kerajaan mesti menyelesaikan isu-isu berbangkit dan masalah pelaksanaan SKDS segera. Sebagai pengajaran, kerajaan tidak perlu menarik subsidi petrol selagi isu-isu SKDS belum selesai dan belum bersedia sepenuhnya,” kata beliau.

Saran beliau, kerajaan sebaiknya menyelesaikan dan memaklumkan dahulu formula penentuan kelayakan subsidi bagi rakyat dan kategori pengkelasan (jika berkaitan) sebelum melaksanakan mana-mana program subsidi bersasar menggantikan subsidi pukal sama ada berkaitan bahan bakar, minyak masak, elektrik, beras, gas dan lain-lain lagi.

Tegas beliau, kerajaan sewajarnya lebih teliti dalam melaksanakan subsidi bersasar ini memandangkan rakyat sudahpun menunaikan tanggungjawab mereka dalam mengemaskini maklumat dalam PADU seperti yang diarahkan oleh kerajaan sebelum ini. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -