Sidang khas pemimpin Islam sempena wukuf di Arafah

Mohd Asri Mat Daud
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemimpin negara umat Islam hendaklah mengambil peluang mengadakan sidang khas ketika perhimpunan agung di Arafah demi mencapai kata sepakat dalam mempertahankan bumi Palestin.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, seluruh pimpinan negara umat Islam wajib i’tilaf Al-Qulub iaitu mencapai kesepakatan hati seterusnya ittihad Al-Amal dengan membentuk kesatuan tindakan dalam merencana penyatuan ummah berskala besar.

Katanya himpunan di Arafah sebagai manifestasi kesatuan ummah seluruh dunia, tanpa mengira bangsa, pangkat dan taraf sosial serta pendidikan.

“Seluruh umat Islam berhimpun di satu lokasi dengan berpakaian sama tanpa ada perbezaan. Di situlah seluruh umat Islam wajib memanjatkan doa ke hadrat Allah, memohon nusrah khas kepada saudara kita yang diperangi di Palestin. Mengingati mereka di dalam doa adalah keutamaan seluruh bakal hujjaj,” katanya di sini.

Menurutnya juga kerajaan Kelantan sentiasa prihatin dalam agenda Wahdatul Ummah antaranya apabila tiba musim haji kerajaan negeri mengambil inisiatif menghimpunkan rakyat pada Sambutan Penghayatan Hari Wukuf dan Hari Mabit.

Kata beliau program itu diadakan di 14 kawasan Parlimen seluruh Kelantan secara serentak pada pagi 9 Zulhijjah.

“Seluruh rakyat termasuk warga perantau yang balik berhari raya turut menghadirinya. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita yang lalu dan akan datang seterusnya menyatukan hati umat Islam agar teguh berpadu dalam mempertahankan tuntutan Syariat Islam,” ujarnya.

Mohd Asri berkata, tanggal 9 Zulhijjah mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu digapai ganjarannya oleh seluruh umat Islam khasnya dengan berpuasa.

Beliau berkata, keampunan dosa bagi tempoh dua tahun merupakan suatu anugerah terbesar yang hanya datang tawarannya sekali setahun.

“Sesungguhnya doa hari Arafah adalah sebaik-baik doa di sisi Allah SWT,” ujarnya.

Ini, jelasnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayat Tirmizi yang bermaksud: Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -