Sambutan Aidiladha 2024: Jangan lupakan Palestin

Imran Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Umat Islam dalam negara ini jangan lupakan rakyat Palestin ketika menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini yang bakal tiba menjelang esok.

- Advertisement -

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Imran Sulaiman berkata demikian mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha dan mendoakan setiap umat Islam supaya setiap amalan mereka diberkati Allah SWT. di dunia dan akhirat.

“”Namun begitu ketika kita sedang bergembira menyambut Aidiladha kali ini, jangan lupa mendoakan saudara-saudari kita di Palestin,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, umat Islam di negara ini seharusnya beruntung kerana dapat menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh keamanan berbanding dengan negara-negara seperti Palestin, Syria, Iraq dan Libya.

Tambahnya, keadaan umat Islam di sana berada dalam keadaan sebaliknya yang mana  pertempuran akan berlaku hampir setiap kali dan mengorbankan rakyat tak berdosa.

“Cuba kita lihat umat Islam di Palestin yang mana setiap kali nak menyambut perayaan sahaja, rejim Zionis Israel akan terus membedil mereka tak berdosa dengan menggunakan jet pejuang, kereta kebal Merkava dan seumpamanya.

“Umat Islam di Syria, Iraq dan Libya juga menerima nasib yang sama yang mana akan sentiasa berlakunya pertempuran yang hampir tidak berkesudahan kesan daripada campur tangan Amerika Syarikat dan sekutunya.

“Walaupun Syria adalah satu-satunya negara yang berjaya melawan semula kuasa-kuasa barat dalam apa jua keadaan tetapi kita lihat sendiri banyak kemusnahan yang berlaku terhadap negara tersebut bak kata pepatah ‘menang jadi arang kalah jadi abu’.

“Maka, apa yang saya ingin sampaikan di sini ialah kita jangan lalai dalam menyambut Hari Raya Aidiladha dengan perkara-perkara yang lalai,” ujarnya.

Beliau menyatakan majoriti rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa akan  sentiasa bersama-sama dengan perjuangan rakyat Palestin.

Kata beliau lagi, umat Islam perlu bersatu hati mengenai isu tersebut dan meneruskan melakukan aktiviti boikot terhadap apa jua barangan syarikat yang menyokong negara haram Israel.

“Ini untuk menunjukkan bahawa apa pun yang terjadi kita akan tetap bersama-sama dengan rakyat Palestin dan takkan berkompromi dengan kezaliman rejim Zionis Israel.

“Saya doakan umat Islam di Palestin akan terus dilindungi Allah SWT daripada mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -