Sabtu dahsyat buat tentera Zionis Israel: 11 maut

Abu Ubaida (kiri) mengumumkan pejuang al-Qassam kekal bersiap siaga menanti serangan tentera Zionis Israel dalam mempertahankan Semenanjung Gaza. (FOTO: MNA)
- Advertisement -

SEMENANJUNG GAZA: Tentera penjajah haram, Zionis Israel telah kehilangan tiga lagi tenteranya di darat di Semenanjung Gaza, menjadikan angka kematian tentera penceroboh mencecah kepada 11 orang sejak awal Sabtu (15 Jun) – angka tertinggi dalam tempoh sehari dalam kalangan tentera Israel yang maut angkara menceroboh Gaza.

Agensi berita Palestin, Samaa yang memetik laporan media Zionis berkata, tiga askarnya terbunuh selepas mengumumkan dua lagi cedera dalam pertempuran dengan pejuang penentang Palestin pada petang Sabtu itu.

- Advertisement -

Media Israel mengumumkan bahawa dua askar dari Briged ke-179 terbunuh dan dua cedera akibat letupan di tengah Gaza.

Tentera Israel mengesahkan pembunuhan Yair Reutman, dari briged Gafaati, yang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya ketika konflik di Rafah beberapa hari lalu.

Terdahulu pada awal Sabtu, media Zionis telah mengesahkan kematian lapan tentera dari Briged Kejuruteraan 601 dalam operasi penentangan di Rafah.

Menurut laporan itu lagi, timbalan komander Bahagian Kejuruteraan ke-601 rejim ini adalah antara yang maut.

Sementara itu, jurucakap Briged Izz ad-Din Al-Qassam, sayap tentera Gerakan Penentangan Palestin Hamas, berkata bahawa operasi gabungan dan unik pada hari Sabtu di Rafah yang adalah tamparan pedih buat tentera laknatullah Zionis dan menegaskan semula kekalahan musuh terhadap penentangan Palestin.

Abu Ubaida memberi amaran kepada pasukan pendudukan Zionis dalam mesej di laman telegramnya bahawa operasi sedemikian ‘akan menunggu musuh (Zionis Israel) dalam tempoh yang lebih lama lagi.

“Pukulan pedih kami terhadap tentera musuh akan berterusan di mana sahaja mereka berada, dan dengan pertolongan Allah SWT, tentera rejim penjajah tidak akan menemui apa-apa selain serangan hendap maut buat mereka di mana-mana bahagian tanah air kami ini,” tegasnya.

Berdasarkan laporan media Israel yang memetik sumber tentera, rejim itu telah kehilangan lebih 300 askar, termasuk beberapa komander tertinggi sejak pencerobohan darat ke atas Gaza yang bermula pada 27 Oktober 2023.

Namun, rakyat Palestin dan media asing arus perdana berkata, rejim itu telah bertindak menyembunyikan jumlah sebenar kematian dalam kalangan tenteranya untuk mengelakkan kemarahan orang awam di Israel. – Agensi/– HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -