Rakyat Kelantan nikmati cuti panjang sempena Aidiladha

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan menikmati cuti panjang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini apabila cuti umum bermula hari ini sehingga Selasa.

- Advertisement -

Hari Wukuf merupakan cuti umum di Kelantan sejak beberapa tahun lepas sebagai tambahan sempena cuti Hari Raya Korban selama dua hari bermula esok.

Manakala hari ini diadakan sambutan Penghayatan Hari Wukuf di seluruh kawasan parlimen di Kelantan. Program itu bermula jam 7.30 pagi dengan pendaftaran peserta diikuti solat sunat dhuha jam 8 pagi dan kuliah khas 8.30 pagi. Program itu berakhir dengan ucapan pimpinan.

Di parlimen Kota Bharu program itu diadakan di Dataran Rekreasi Lembah Sireh, Tumpat di pekarangan Padang Pantai Sri 7, Jeli bertempat di Dataran Ilmu Jeli, Rantau Panjang di Dataran Apam Putra, Majlis Daerah Pasir Mas, Lubok Jong.

Ketereh di Medan Ilmu Pasar Peringat, Kubang Kerian di Maahad Rahmah Kenali, Gua Musang di Dataran Ilmu, Bandar Baru Gua Musang, Machang di Dataran Kenanga, Bachok di Kompleks Pendidikan Islam Kampung Badak, Pasir Puteh di Arena Square dan di Kuala Krai di Wadi Purnama, Bechah Salak Kuala Krai.

Manakala pada 12 Zulhijah (Rabu) diadakan pula program sambutan Hari Mabit. Program itu bermula solat Maghrib dan diikuti ceramah khas. Program berakhir selepas solat Isyak.

Lokasi sambutan Hari Mabit di Kota Bharu bertempat di Masjid Kota Darulnaim, Tumpat di Masjid Nurul Hidayah Kampung Gerong, Pasir Mas di Masjid Iktikaf Bunut Susu, Jeli di Masjid Darul Afwa Kampung Seberang Jeli.

Rantau Panjang di Masjid Musleh Pusat Tarbiyah Kawasan Rantau Panjang, Ketereh di Masjid Al-Muhaimin Mukim Kok Lanas, Kubang Kerian di Masjid Mukim Pendek, Salor.

Selain itu, Gua Musang di Masjid Buluh dan Machang di Masjid Keputeraan Tahfiz Pulai Chondong. Program tersebut diadakan di 14 kawasan parlimen di Kelantan.

Sambutan Hari Raya Korban di Kelantan meriah dengan kepulangan ramai anak perantau. Kesesakan jalan raya dilapor media bermula dari tol Gombak.

Seorang perantau yang bekerja di Putrajaya memberitahu beliau menaiki bas ekspres dari Putrajaya jam 9 malam (Jumaat) dan sampai jam 10 pagi semalam di Kota Bharu.

Cuaca di Kelantan hari ini agak mendung dengan hujan lebat di beberapa tempat termasuk Kota Bharu pagi ini. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -