Pesawah Kedah terbeban kos operasi meningkat

- Advertisement -

JERAI: Kerajaan Persekutuan disarankan melihat kembali peningkatan kos operasi pertanian khususnya sawah padi apabila bayaran pembajakan terkecuali daripada penyasaran subsidi, sedangkan berlaku kenaikan harga diesel.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, keadaan seperti itu akan menambahkan lagi bebanan kepada para pesawah, sekali gus menyebabkan kehidupan golongan itu semakin terhimpit.

“Sudahlah mereka (petani) terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi, sekarang ini hasil atau keuntungan yang diperolehi juga akan semakin rendah akibat kenaikan kos-kos operasi serta bahan pertanian kerana kenaikan harga diesel,” kata beliau kepada Harakahdaily, di sini.

Sabri menambah, sebagai wakil rakyat yang mewakili kawasan majoriti pesawah padi, beliau amat terkesan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan bermula 10 Jun itu.

Malah katanya lagi, kenaikan harga minyak diesel itu juga memberi impak negatif kepada semua rakyat apabila kesan berantai turut berlaku kenaikan harga dalam pelbagai keperluan harian.

“Ibu bapa para pelajar juga dalam keadaan kebimbangan kerana akan berhadapan dengan kenaikan tambang bas. Begitu juga nelayan di seluruh negara juga tidak terkecuali.

“Saya cukup terasa dengan sungutan rakyat, naik (harga diesel) dahulu baru daftar penyasaran subsidi. Sebelum dapat kelulusan subsidi sudah tentu rakyat marhaen jadi mangsa.

“Janji kepada rakyat hanyut entah ke mana, tetapi yang nyata rakyat terpaksa tanggung bebanan hidup dengan pelbagai perlaksanaan Kerajaan Madani ini,” tambahnya lagi.

Justeru, akibat kenaikan harga barangan dan lain-lain kos berkaitan, sudah tentulah katanya akan meningkatkan kadar inflasi, maka rakyatlah yang menjadi mangsa dengan segala kenaikan itu. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -