Perutusan Presiden PAS sempena Hari Raya Aidiladha 1445H

- Advertisement -

SELURUH umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha bukan sahaja bersempena ibadat haji yang menjadi salah satu daripada rukun Islam yang diwajibkan kepada mereka yang berkuasa dan mampu, bahkan juga bersempena memperingati sunnah Nabi Ibrahim AS yang disambung perjuangannya oleh Nabi Muhammad SAW.

Umat Islam menyembelih binatang ternakan dan melakukan ibadat korban sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS. Mereka melaksanakan ibadat ini semata-mata kerana Allah SWT.

- Advertisement -

لَن يَنَالَ ٱللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَآؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ ٱلتَّقۡوَىٰ مِنكُمۡۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمۡ لِتُكَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡۗ وَبَشِّرِ ٱلۡمُحۡسِنِينَ٣٧
“Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas petunjuk kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang berusaha supaya baik amalannya.” (Surah al-Hajj: 37)

Allah SWT memerintahkan kita umat Nabi Muhammad SAW mengambil contoh daripada Nabi Ibrahim AS untuk menjadi seorang Islam yang sebenar. Allah menegaskan Islam sahaja agamaNya. Adapun agama dan ajaran yang lain termasuk yang diciptakan oleh akal manusia bukan daripada ajaran Islam.

Marilah kita menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang dirakamkan dalam al-Quran sebagai suatu semangat dan motivasi untuk berhadapan dengan ujian dan musibah yang melanda hari ini. Begitu juga menghayati falsafah ibadat haji yang menekankan soal perpaduan yang menjadi teras kekuatan umat Islam.

Akhirnya, pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam walau di mana jua kalian berada. Mudah-mudahan, Allah SWT senantiasa memberkati kita semua.

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -