Perutusan Aidiladha 1445H YAB Menteri Besar Kelantan

- Advertisement -

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ‎
Yang bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Allah memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.

- Advertisement -
  1. Kedatangan hari raya Aidiladha mengingatkan kita tentang erti sebuah pengorbanan terutama pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s yang menjadi teladan bagi umat Islam sepanjang zaman.
  2. Bagi mereka yang mengerjakan ibadah Haji, perjalanan menyempurnakan manasik Haji tidak akan berjaya melainkan hanya dengan pengorbanan. Ada pun kita di sini, menyambut Aidiladha dengan berkorban harta untuk mengambil bahagian korban sebagaimana sabdaan Rasulullah SAW:

    مَن كان له سَعَةٌ ولم يُضحِّ، فلا يَقْرِبَنَّ مُصَلَّانَا
    Yang bermaksud: Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat kami bersembahyang ini. (Riwayat Ibnu Majah)
  3. Justeru, marilah kita hayati tiga nilai yang ingin saya kongsikan ini agar sambutan Aidiladha lebih bermakna;

a. Pengabdian:
Pengabdian yang sebenar adalah sanggup melaksanakan perintah Allah walau perlu berkorban jiwa, harta dan apa sahaja yang dimiliki. Namun perlu diingat, Ikhlas dan Taqwa menjadi kunci penerimaan terhadap amalan yang dilaksanakan. Jika tidak ikhlas dalam apa sahaja amalan diibaratkan seperti kulit yang tiada isi dan jasad yang tiada ruh.

b. Perjuangan:
Tiada perjuangan tanpa pengorbanan. Ibadah korban mengajar jiwa kita yang lemah ini untuk menginsafi perjuangan saudara seakidah kita di Palestin yang berkorban jiwa dan raga demi mempertahankan tanah suci umat Islam. Jika satu bahagian korban kita sanggup bayar untuk laksana ibadah sunat, maka kesanggupan membantu mereka di sana dengan sumbangan jihad adalah suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan.

c. Perpaduan:
Aidiladha yang dirai ini menjadi lebih bermakna dengan mengeratkan persaudaraan dan mengukuhkan perpaduan antara sesama umat Islam. Tanpa perpaduan antara umat Islam, bagaimana mungkin kita mampu kuat untuk daulatkan syariat Allah.

  1. Sambutlah hari raya Aidiladha ini dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan keinsafan. Hayatilah sirah para anbiya a.s agar ruh perjuangan Islam dapat disuburkan dalam jiwa-jiwa kita untuk diterjemahkan dalam kehidupan.
  2. Akhirnya, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat negeri Kelantan yang saya kasihi tidak kira di mana berada. Semoga hari yang mulia ini membawa keberkatan dan rahmat yang berlipat ganda kepada kita semua.

الله أكبر، الله أكبر، الله أكبر، ولله الحمد

YAB. Dato’ Panglima Perang
Ustaz Dato’ Hj. Mohd Nassuruddin bin Hj. Daud,

Menteri Besar Kelantan
09 Zulhijjah 1445H bersamaan 16 Jun 2024 (Ahad) – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -