Penyasaran harga subsidi diesel: Implikasi terhadap ekonomi Malaysia

- Advertisement -

PADA 9 Jun 2024, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan penyasaran harga subsidi diesel yang melibatkan penetapan harga runcit bahan api diesel mengikut harga pasaran. Langkah ini juga termasuk bantuan bersasar untuk sektor logistik dan pengagihan bantuan tunai BUDI MADANI.

Cabaran
The Future Research melihat kesan terhadap penyasaran harga subsidi diesel akan menyebabkan:

- Advertisement -
  1. Kenaikan Harga Diesel terhadap Pasaran dan Inflasi

The Future Research melihat penyasaran diesel akan mendatangkan cabaran kepada rakyat secara keseluruhannya di mana kenaikan harga diesel dari RM2.15 ke RM3.35 seliter dijangka memberi kesan yang besar terhadap pasaran dan harga barangan.

Kenaikan sebanyak RM1.20 ini akan meningkatkan kos pengangkutan dan operasi bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan, yang akhirnya akan diterjemahkan kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan kepada pengguna akhir.

Inflasi yang meningkat boleh mengurangkan kuasa beli rakyat dan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah yang sudah pun terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Walaupun kerajaan telah mengumumkan penyasaran subsidi melalui Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI MADANI) melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebanyak RM200 sebulan, peniaga masih terkesan dengan peningkatan kos operasi khususnya kos penghantaran.

  1. Kenaikan Kos Sara Hidup

Merujuk kajian yang diterbitkan oleh UNICEF dan UNFPA baru-baru ini iaitu golongan berpendapatan rendah di Kuala Lumpur mendapati kenaikan harga barangan menyebabkan keadaan menjadi lebih mencabar berbanding tempoh pandemik COVID-19.

Kajian tersebut mendapati 90 peratus isi rumah terkesan dengan kenaikan kos sara hidup malah, ada dalam kalangan mereka yang terpaksa bekerja lebih masa dan mengurangkan perbelanjaan isi rumah bagi menampung keperluan asas.

Seramai 8 daripada 10 isi rumah berhadapan dengan situasi yang mencabar untuk memperolehi pendapatan yang mencukupi bagi menampung keperluan asas hidup dan ianya adalah lebih tinggi berbanding 7 daripada 10 sebagaimana yang dilaporkan semasa pandemik.

Kajian ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih terkesan dengan cabaran kos sara hidup pasca-pandemik Covid-19. Pelaksanaan penyasaran harga subsidi diesel akan memberikan tekanan yang lebih tinggi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

  1. Tekanan terhadap Kos Logistik dan Pengangkutan

Sektor logistik dan pengangkutan akan menghadapi cabaran besar akibat kenaikan harga diesel.

Walaupun terdapat mekanisme subsidi seperti SKDS 2.0, kos operasi yang lebih tinggi akan memberi tekanan kepada syarikat-syarikat logistik, terutamanya yang berskala kecil dan sederhana.

Kenaikan kos bahan api ini juga boleh menyebabkan peningkatan kos pengangkutan dan penghantaran barang, seterusnya membebankan pengguna dan peniaga.

Cadangan & Pendekatan
Berikut adalah tiga (3) cadangan daripada The Future Research:

  1. Inisiatif Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui

Kerajaan disarankan untuk melabur dan menggalakkan sumber tenaga boleh diperbaharui dan teknologi cekap tenaga. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap bahan api, malah bakal memberi manfaat kepada ekonomi dan alam sekitar. Penggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui akan memacu masa depan yang lestari untuk generasi akan datang.

  1. Pemantauan dan Penguatkuasaan

Memperkuat mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan adalah langkah penting untuk mencegah penyeludupan dan memastikan bahawa subsidi yang masih ada benar-benar sampai kepada penerima sasar.

Pengurusan dan pengawasan yang cekap dapat membasmi kebocoran dan penyalahgunaan subsidi dengan ketara.

Antara langkah tambahan yang boleh memperkukuh mekanisme adalah pemantauan melalui teknologi, kerjasama antara agensi, latihan dan pendidikan, pengawasan berasaskan data dan penalti yang tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan serta menyeludup barang subsidi.

  1. Integrasi Polisi

Kerajaan juga disarankan untuk mengintegrasi pembaharuan subsidi bahan api dengan polisi ekonomi yang lebih mampan. Langkah ini akan membentuk asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan kelestarian alam sekitar dalam jangka masa panjang.

Antara aspek yang perlu dipertimbangkan adalah melalui pembaharuan fiskal dan merangka program kebajikan sosial bagi mengurangkan kesan negatif terhadap golongan berpendapatan rendah. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

Bahagian Komunikasi Korporat
The Future Research
Cyberjaya
16 Jun 2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -