Pasar sesak, orang ramai beli keperluan saat akhir

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pasar Besar Siti Khadijah mulai sesak dengan kehadiran orang ramai yang datang untuk membeli barangan keperluan terutamanya barangan basah sebagai persiapan di saat akhir bagi menyambut Hari Raya Aidiladha, esok.

- Advertisement -

Suasana serupa turut dialami di pasar-pasar utama yang lain seperti Pasar Wakaf Che Yeh, Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa, Pasar Kubang Kerian, Pasar Besar Wakaf Bharu, Pasar Besar Sumaiyah Bandar Baru Tumpat dan lain-lain.

Bagaimanapun Pasar Siti Khadijah mulai dikunjungi orang ramai sejak semalam untuk mendapatkan barangan keperluan khususnya bahan memasak seperti bawang, rempah-ratus, sayur-sayuran dan lain-lain sebagai persediaan memasak daging korban bermula esok.

Orang ramai mula memasuki pasar berkenaan seawal pukul 7.00 pagi bagi mengelak berlaku kesesakan khususnya di bahagian pasar basah, sayuran dan tingkat satu yang menempatkan barangan rempah-ratus dan bawang.

Aminah Ibrahim, 57, berkata beliau agak lewat ke Pasar Siti Khadijah hari ini, menyebabkan suasana agak sesak berbanding sebelumnya.

Beliau yang tinggal di Kampung Pintu Geng memberitahu, kebiasaannya beliau datang ke pasar berkenaan kira-kira 9.00 pagi setiap kali musim perayaan.

“Hari ini lewat berbanding biasa, jadi orang sudah ramai,” katanya ketika ditemui di bahagian rempah-ratus.

Seorang peniaga di pasar berkenaan, Halimah Daud, 55, memberitahu suasana sesak dengan orang ramai akan dilaluinya setiap kali musim perayaan sama ada Aidilfitri atau Aidiladha.

Sebagai seorang peniaga beras, jualannya akan meningkat berbanding hari biasa khususnya dua hari sebelum tiba hari raya Aidiladha.

“Kalau hari biasa dalam 30 hingga 50 kilogram sehari, tapi bila tiba musim perayaan ni, ia bertambah,” katanya.

Sementara itu seorang peniaga di Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa, Norai Abdullah, 54, pula berkata orang ramai mula mengunjungi pasar berkenaan seawal pukul 7.00 pagi.

Beliau yang berniaga sayuran di pasar berkenaan lebih 15 tahun lalu berkata, beliau dan peniaga lain memang tidak menang tangan untuk melayan pelanggan.

“Terutama bahagian ayam dan ikan yang menjadi tumpuan orang ramai selain bahagian bawang dan rempah-ratus,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -