Manfaatkan Hari Arafah sepenuh hati dan penghayatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud, menyeru rakyat Kelantan manfaatkan Hari Arafah yang penuh keberkatan dengan sepenuh hati dan penghayatan.

- Advertisement -

Menurutnya, pada hari yang istimewa ini pintu-pintu langit terbuka luas, rahmat Allah SWT tercurah tanpa batas, dan doa-doa hamba-Nya akan dimakbulkan.

“Ini adalah kesempatan emas untuk merenungi makna kehidupan dengan memperbanyak istighfar dan mendekatkan diri kepada Allah Azza Wajalla,” ujarnya dalam kenyataan khas sempena Penghayatan Hari Wukuf, hari ini.

Menurutnya, tidak ada hari yang lebih mulia selain hari wuquf di mana dosa-dosa diampuni dan pahala dilipat gandakan.

Beliau memetik hadis daripada Sayyidatina Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-Nya daripada neraka melebihi Hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para malaikat. Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?” [Riwayat Muslim (3354), Ibnu Majah (3014)]

Kerajaan negeri setiap tahun mengadakan program Sambutan Penghayatan Hari Wukuf yang diadakan di seluruh 14 kawasan Parlimen yang dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN).

Sehubungan itu, kerajaan negeri mengisytiharkan Hari Wukuf sebagai cuti umum dan hari Isnin dan Selasa pula hari cuti sempena Aidiladha. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -