Kenyataan pastor: Campur tangan biadap melampau terhadap Islam

Islam tidak boleh mencampuri urusan agama lain, sebagaimana penganut agama lain tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan urusan agama Islam. (FOTO HIASAN)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kenyataan sebegini menggambarkan sikap campur tangan kebiadaban yang melampau terhadap Islam yang menjadi agama Persekutuan. Hal ini demikian kerana, kenyataan tersebut menzahirkan pengetahuan yang cetek terhadap asas agama Islam dan juga asas Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.”

Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, pihaknya berasa terkejut dan amat berdukacita dengan kenyataan yang begitu jahil dilontarkan oleh seorang pastor dari sebuah gereja, Vision Harvest Church.

- Advertisement -

“Kenyataan dikeluarkan pastor bernama Albert Kok tersebut dalam sebuah media tempatan pada 11 Jun 2024 memetik bahawa orang Islam khususnya mualaf, wajar diberikan kebebasan untuk menukar agama sekiranya terdapat perubahan fikiran setelah memeluk Islam. 

“Pastor tersebut turut menyatakan keperluan ini boleh dibuat memandangkan Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan beragama,” jelas kenyataan itu.

Susulan kenyataan pastor berkenaan, Pemuda PAS Malaysia menyatakan, adalah perlu difahami bahawa Islam tidak memaksa mana-mana individu untuk menerima agama suci ini. 

“Memeluk agama Islam perlu dibuat atas dasar kerelaan hati 100 peratus seseorang individu tanpa terikat dengan kepentingan bersifat sempit dan sementara.

“Hal ini menandakan bahawa Islam amat mementingkan aspek keseriusan seseorang individu sebelum membuat keputusan memeluk agama Islam. 

“Sebarang persoalan dan keraguan yang timbul sebelum atau selepas memeluk agama Islam perlu diuruskan berpandukan bimbingan pihak agama berautoriti dan golongan asatizah dan ilmuan agama,” hujah kenyataan tersebut.

Berhubung hak kebebasan beragama yang dijamin Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, Pemuda PAS Malaysia menjelaskan, perlu juga difahami bahawa kebebasan yang dimaksudkan ialah kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing yang menyentuh tiga  aspek iaitu hak untuk menganut, hak untuk mengamalkan dan hak untuk menyebarkan.

“Adapun bagi hak untuk menyebarkan, Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan had melarang perbuatan menyebarkan agama lain terhadap orang Islam daripada dilakukan secara bebas. 

“Kenyataan pastor tersebut yang cuba menyeleweng maksud peruntukan dalam Perkara 11 ini adalah sebuah usaha yang boleh ditafsirkan berniat jahat,” tegas kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa Islam agama yang mengiktiraf kedudukan penganut setiap agama untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Islam tidak boleh mencampuri urusan agama lain, sebagaimana penganut agama lain tidak boleh sewenang-wenangnya campur tangan urusan agama Islam. 

“Untuk kamu agama kamu, untuk kami agama kami. Inilah formula kesejahteraan yang sudah terbukti keberkesanannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -