Cuti umum mudahkan rakyat hayati Hari Wukuf

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud mengetuai solat hajat sempena sambutan Penghayatan Hari Wukuf peringkat Parlimen Pasir Mas.

- Advertisement -

Beliau tiba di pekarangan Masjid Mukim Alor Buloh di Kampung Pohon Buloh Pasir Mas dekat sini disambut wakil rakyat Pengkalan Pasir, Nasriff Daud, pemimpin PAS kawasan dan ahli-ahli jemaah.

Kelihatan hadir Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan mantan anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Hanifa Ahmad. Orang ramai yang hadir berpakaian jubah dan kopiah putih.

Sempena program itu Menteri Besar bersama jemaah lain mendengar ceramah khas disampaikan Penolong Kanan Pentadbiran Maahad Amir Indera Petra Bachok, Ustaz Zamri Zahari.

Mohd Nassuruddin juga berkata, rukun yang paling penting dalam ibadat haji ialah wukuf menyebabkan semua individu mengerjakan haji akan tertumpu di Arafah.

Sempena program terbabit katanya kerajaan negeri mengumumkan cuti umum bagi membolehkan rakyat menghayati persitiwa wukuf yang dihadiri jutaan manusia dari seluruh dunia di Makkah.

“Orang Islam yang menunaikan haji wajib berwukuf di Arafah sebagai salah satu rukun penting dalam ibadah itu tanpa mengira warna kulit, keturunan dan ideologi politik.

“Yang nak buat haji kena wukuf di situ semuanya, ada orang Arab.  Melayu Cina, India dan sebagainya, kena wukuf situ kerana Allah jadikan kita dari pelbagai bangsa dan bahasa berbeza,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -