Batu Pahat tuan rumah Sambutan 70 Tahun PAS Johor

- Advertisement -

BATU PAHAT: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin mengumumkan PAS Kawasan Batu Pahat telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan 70 Tahun PAS negeri itu.

- Advertisement -

Jelasnya, pemilihan Kompleks PAS (KOMPAS) Batu Pahat sebagai lokasi program yang bakal berlangsung pada 28 September itu menunjukkan bahawa ia sebagai salah satu lokasi penting kepada PAS Johor.

Beliau menyatakan perkara itu sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Batu Pahat di kompleks tersebut, di sini kelmarin.

“Kompleks PAS ini yang merupakan tempat yang sangat bersejarah, yang sangat penting dalam sejarah PAS Negeri Johor. Maka kita memilih untuk mengadakan ‘Sambutan 70 Tahun PAS Negeri Johor’ di KOMPAS ini.

“Di Dewan Haji Abas Kompleks PAS Batu Pahat dan seluruh pekarangannya. Sambutan besar-besaran,” ujarnya menyatakan PAS Johor telah mencapai usia 70 tahun berbanding dengan PAS Pusat yang telah berusia 73 tahun.

“PAS Kawasan Batu Pahat bermesyuarat agung tahunan kali yang ke-50. Menunjukkan satu tempoh yang panjang. Umur 50 tahun, pengalaman yang panjang melalui pahit manis dalam perjuangan. Sambung-menyambung generasi perjuangan,” ujarnya.

Kata Ustaz Abdullah, sebagai tuan rumah, ahli-ahli PAS di kawasan tersebut bakal menggalas tanggungjawab berat dalam melaksanakan program tersebut dengan jayanya.

Tambah beliau, para amilin PAS harus bersyukur kerana dipilih oleh Allah SWT untuk terlibat dalam memperjuangkan Islam yang dibawa oleh parti itu.

“Allah SWT telah memilih tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudara, saudari-saudari, kita semua, untuk meneruskan kesinambungan perjuangan Islam yang suci murni ini.

“Bersyukurlah kepada Allah SWT walau pun kita merasakan diri kita kerdil, walau pun kita merasakan kita banyak kelemahan, walau pun kita sedar kita banyak kekurangan.

“Kita yang banyak dosa inilah yang dipilih oleh Allah SWT untuk berada dalam mata rantai daripada rantaian perjuangan Islam yang panjang,” katanya.

Katanya lagi, selain mengucapkan alhamdulillah, sebagai tanda kesyukuran seluruh amilin PAS harus berjihad dengan bersungguh-sungguh bagi menegakkan Islam.

“Maknanya bukan sambil lewa; bukan seperti melepaskan batuk di tangga; bukan bermain-main dalam perjuangan ini. Berjihadlah kamu dengan sebenar-benar jihad,” ujarnya.

Turut berucap di dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Pahat yang juga Ketua Penerangan PAS Johor, Abu Irfan Muhammad Al Urduni.

Turut hadir ialah Bendahari PAS Johor, Abdul Aziz Talib sebagai pemantau MAT, Pengarah Keselamatan PAS Negeri, Sazali Siron, wakil BERSATU Bahagian Batu Pahat, Mohd Rashid Abu Bakar dan wakil Perikatan Nasional Batu Pahat, Hidayat Johari. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -