Abang Bidin individu penting perjuang isu rakyat

Gambar mesyuarat 'rasmi' pertama berkenaan isu air di Mukim 5 seminggu sejurus Allahyarham Nor Zamri memenangi kerusi di DUN Sungai Bakap. (FOTO: FB/Khairul Ahmad Fitri Suhaimi)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Abidin Ismail, 56, atau dikenali sebagai Abang Bidin yang diisytiharkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap merupakan individu penting bagi memperjuangkan isu rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masalah Air Mukim 5, Seberang Perai Selatan (SPS), Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, itulah sifat dan sikapnya yang teserlah ketika mula mengenali Abidin sejak penglibatannya bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff dalam perjuangan isu rakyat.

- Advertisement -

“Saya mula mengenali susuk tubuh (calon) Abang Bidin sejak penglibatan kami bersama-sama team arwah Yang Berhormat Zamri atau mesra dipanggil Abang Zam dalam meneruskan hasrat dan harapan penduduk perjuangan menuntut hak air bersih.

Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Zikrullah Ismail, antara menjadi saksi kehadiran Abang Bidin di samping Almarhum Abang Zam dalam menunaikan harapan dan hasrat penduduk yang hampir enam tahun terhimpit dengan masalah air.

“Abang Bidin juga merupakan orang kedua yang paling rapat dan memahami visi serta misi perjuangan arwah Abang Zam selepas isteri arwah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Khairul Ahmad berkata, Abidin juga merupakan individu paling penting di belakang tadbir pada setiap gerak kerja Allahyarham Zamri dalam menelusuri denyut nadi penduduk Sungai Bakap.

“Abang Abidin Al-Duridiy Abilah seorang yang bercakap lemah lembut, rendah diri dan kuat bekerja. Dalam lembutnya bicara ada ketegasan, itulah Abang Abidin apabila ia berkaitan dengan isu permasalahan rakyat.

“Calon yang datang dalam kalangan rakyat, berpuluh tahun mencurah bakti di tanah kelahirannya di Sungai Duri. Jika bukan dia yang melalui sendiri kehidupan harian di sini, maka siapa lagi yang lebih layak? Tepuk dada tanya selera.

“Insya-Allah sama-sama kita #SgBakapKitaKekal dan #KekalLegasiAbangZam,” katanya.

Untuk rekod, Abidin berpengalaman bekerja sebagai Eksekutif Logistik di USG Sdn Bhd selama 30 tahun dan merupakan Pembantu Peribadi kepada Allahyarham Zamri.

Abidin juga merupakan Naib Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal di mana Allahyarham Zamri adalah Yang Dipertuanya, selain Abidin juga adalah Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Sungai Bakap.

Dalam jawatan kemasyarakatan, beliau merupakan Pengerusi Masjid Sungai Duri dan di dalam ucapan sulungnya, beliau berikrar meneruskan legasi Nor Zamri atas pengalaman pernah ditimbanya daripada Almarhum. – HARAKAHDAILY 16/6/2024

- Advertisement -