‘Tidak guna tukar kulit, tapi isi masih sama’

Mohamad Izwan Zainal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dasar kerajaan pada hari ini perlu memastikan fokus kepada golongan B40 dan M40 tanpa mengira bangsa mahupun agama.

- Advertisement -

Ahli Dewan Tertinggi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Mohamad Izwan Zainal berkata, kenaikan harga diesel akan memberikan impak yang besar kepada golongan B40 dan M40 dan dasar itu adalah tidak betul dan tidak harus dilaksanakan ketika ini.

Menurut beliau, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan sejak Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak tidak mencapai sasaran dan menunjukkan hasil sepertimana yang disasarkan khusus kepada pencapaian Bumiputera.

Katanya, yang mana secara keseluruhannya matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata dalam mengurangkan dan membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan di samping menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Selain daripada itu, mempercepatkan proses penyusunan semula ekonomi Malaysia untuk memperbetulkan ketidak-seimbangan ekonomi supaya dapat mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Bumiputera berkata, Dasar Pembangunan Negara (DPN) yang diperkenalkan pada tahun 1991 masih mengekalkan elemen-elemen DEB, yang mana matlamatnya adalah masih merapatkan jurang perbezaan purata pendapatan dikalangan kaum di Malaysia.

Ini, ujarnya menunjukkan bahawa dasar sedia ada sebenarnya adalah bersifat inklusif kepada semua rakyat Malaysia, namun ianya masih belum mencapai matlamat sepertimana yang dirancang.

“PUTRA berpendapat bahawa gantilah apa jua dasar sekali pun, pastikan ianya mengekalkan ciri-ciri inklusif sepertimana dasar-dasar yang diperkenalkan sebelum ini.

“Namun, gantilah apa jua dasar sekali pun, sekiranya dasar-dasar sedia ada tidak mencapai sasaran dan matlamat secara keseluruhan, buat apa harus diganti? Lebih baik laksanakan dan pastikan sasaran ini tercapai.

“Tidak guna tukar kulit, tapi isi masih sama. Prestasi kulit akan turun kerana isinya masih belum diperoleh kaedah rawatan,” katanya.

Tambah beliau, dasar-dasar itu masih relevan dikekalkan berdasarkan kepada ‘kek-kek’ ekonomi mengikut nisbah kaum bagi mengelakkan dominasi sesuatu kaum walaupun bilangan kaum itu tidak dominan di Malaysia dari segi jumlah mereka.

“Kita lihat dari Kongres Ekonomi Bumiputera yang lalu, pengagihan dana yang kerajaan peruntukan masih bersifat eksklusif kepada T20 dan bumiputera, bukan keseluruhan masyarakat bumiputera yang majoritinya 99 peratus berada di B40 dan M40,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2024

- Advertisement -