Rakyat mesti kejut kerajaan yang tidak sedar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memerintah ketika ini telah membuat kerosakan dalam banyak perkara hinggakan perkataan atau ucapan diungkapkan pun sudah sukar untuk rakyat percayai, apatah lagi perbuatan tertentu.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, banyak perkara dinafikan oleh kerajaan termasuk mendakwa sebagai palsu, tetapi akhirnya itulah perkara sebenar yang berlaku sejak dari mula pemerintahan.

Menurutnya, begitu juga dengan segala perkara yang telah mereka janjikan sewaktu sebagai pembangkang, tetapi setelah menjadi kerajaan, semuanya langsung tidak ditepati satu persatu hingga membuatkan rakyat sedar.

Antaranya kemuka beliau, dilaungkan tatakelola oleh mereka dahulu mengenai isu konflik kepentingan di mana Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan Menteri Kewangan pada masa yang sama.

“Sebab inilah antara puncanya skandal kewangan yang terbesar dalam negara iaitu 1MDB. Tapi pada hari pertama pembentukan Kabinet, dengan terang-terangnya Perdana Menteri (adalah),orang yang sama (juga menjadi) Menteri Kewangan,” bidasnya.

Setiausaha Politik Presiden PAS ini berucap dalam Ceramah Isu Semasa pada siri Jelajah Selamatkan Malaysia membawa topik ‘PADU, BUDI, Diesel: Rakyat Terbeban’ di Darul Ummah, Markas PAS Titiwangsa, di sini malam tadi.

Kerajaan kini katanya, dengan begitu mudah sahaja melakukan pembohongan dan penipuan bukan hanya terhadap rakyat, tetapi sehingga para pelabur juga mendapat isyarat yang salah dengan banyak perkara berubah dan tidak menentu.

Syahir menyentuh kejutan diberikan kerajaan menerusi satu Perutusan Negara yang cukup ditunggu-tunggu oleh rakyat, tetapi dihampakan dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai pemansuhan subsidi.

Malah katanya, penyasaran subsidi diesel diumumkan ketika itu akan melalui sistem Bantuan Subsidi Madani atau BUDI menyebabkan rakyat mempertikaikan sistem Pangkalan Data Utama atau PADU yang dikerahkan sebelum itu.

“PADU dikatakan sebagai satu sistem bersepadu, sistem tunggal. Maknanya gabung semua-semua sistem yang ada ni pakai satu sistem saja. Tapi tak dan (tak sempat) pakai sistem PADU, dah create (cipta) sistem baru iaitu sistem BUDI,” bidasnya.

RM200 memang tak cukup

Penolong Setiausaha Agung PAS ini turut mempersoalkan mengenai bantuan RM200 di mana tidak diumumkan oleh Perdana Menteri atau Menteri Ekonomi yang terkenal dengan pelbagai formula, tetapi oleh Menteri Kewangan II.

Sedangkan kata beliau, jika Perdana Menteri atau Menteri Ekonomi berbangga dengan penyelesaian pemansuhan subsidi dan pemberian subsidi bersasar serta pemberian bantuan RM200 itu, mereka yang patut mengumumkannya.

Syahir malah mempertikaikan jumlah bantuan yang hanya RM200 itu kerana diperkiranya sebagai tidak mencukupi, serta tidak selaras dengan tujuan pengambilan maklumat menerusi PADU dan BUDI.

“RM200 memang tak cukup. Yang peliknya mengapa bantuan ini secara ‘flat
rate’, pukul rata? Sedangkan maklumat yang diminta dalam PADU, dalam BUDI ini maklumat yang unik.

“Maklumat berapa you punya income, berapa you punya CC (kenderaan), berapa you punya komitmen? Kalau PADU itu, berapa hutang? Berapa tanggungan? Berapa ansuran dan seumpama, jarak ke tempat kerja?

“Tapi bila bagi bantuan ‘flat rate’, maknanya gagal, yang (sistem itu) dikatakan kononnya nak bagi bantuan secara yang tepat, secara yang bersasar,” bidas menyifatkan tindakan kerajaan tidak padu dan tidak berbudi kepada rakyat.

Tempelaknya juga, keputusan itu mungkin untuk kewangan kerajaan dilihat berada dalam keadaan baik dengan penjimatan kononnya RM4 bilion atau RM8 bilion atau RM10 bilion, tetapi kesannya ditanggung rakyat.

Jelasnya, akibat dari semua itu akan menyebabkan rakyat menanggung sekitar RM10 bilion dalam bentuk penyusutan kuasa beli yang disebabkan oleh kenaikan harga barangan di mana ia berlaku seperti gelombang wabak.

Rakyat menurutnya, sedang marah dengan situasi kini tetapi tidak harus berdiam diri dan jangan redha dengan kemungkaran yang terjadi ke atas negara disebabkan penipuan secara terang-terangan dilakukan pemimpin kerajaan.

Tegas beliau, perlu ada peranan suara mendesak supaya menjadi fungsi semak dan imbang agar kerajaan tidak melakukan sesuatu semudah-mudahnya atau sesuka hati mereka, sedangkan rakyat menanggung kesan buruk.

Tindakan rakyat yang bangkit juga katanya, untuk mengejutkan Menteri agar sedar sikap tidak adil mereka kerana mengambil kesempatan, termasuk sindirnya terhadap perbuatan ‘ambil mana yang sempat’.

Syahir memberikan contoh pengumuman kenaikan harga diesel adalah kesempatan yang berani diambil kerajaan selepas reaksi ditunjukkan pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai dan Kuala Kubu Baharu.

Sehubungan itu rakyat serunya, perlu melakukan satu perubahan terutama pada PRU16 akan datang, selain menjadikan PRK Sungai Bakap dihantar isyarat bahawa rakyat tidak pernah bersetuju dengan tindak-tanduk kerajaan kini. – HARAKAHDAILY 15/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -