Perbankan Islam digital mampu rancak ekonomi Kelantan

Dato' Md Anizam Ab Rahman
- Advertisement -

KOTA BHARU: Perbankan Islam atau bank patuh syariah secara digital yang diperkenalkan AEON Bank selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri Kelantan yang telah diperkenal Januari lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, kerajaan negeri meyakini kaedah perbankan itu mampu merancakkan lagi ekonomi dan sektor pelancongan di negeri ini.

Katanya, perbankan digital bukan sahaja dilihat sebagai suatu kemudahan masa kini, tetapi juga penyelesaian kewangan masa hadapan yang bakal menjadi satu keperluan penuh kelak.

“Kerajaan Kelantan menyokong setiap inisiatif memacu gerakan ke arah transaksi tanpa tunai dan pembayaran digital.

“Kewujudan bank digital patuh syariah tepat pada masa dan sejajar dengan perkembangan sekali gus membantu meningkatkan lagi ekonomi serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri Kelantan,” katanya kepada media selepas merasmikan Kempen #SenangJer Tour AEON Bank (M) Berhad di kompleks beli-belah di Lembah Sireh di sini petang semalam. Beliau mewakili Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, AEON Bank (M) Berhad, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz.

Md Anizam berkata, kerajaan negeri terus melaksanakan dasar-dasar Islam dalam pentadbiran dan ekonomi termasuk bagi sektor perbankan dan kewangan.

Menurut beliau, dengan kesungguhan dan aspirasi dasar pentadbiran Membangun Bersama Islam, kerajaan tersebut terus menggalakkan institusi kewangan untuk menawarkan produk-produk mengikut syariah dan mempromosikannya kepada rakyat supaya menggunakannya atas dasar patuh kepada perintah agama.

“Terima kasih diucapkan kerana memilih Kelantan yang pertama jelajahnya yang disifatkan sebagai amat bersesuaian di AEON Mall yang menjadi tempat antara tumpuan orang ramai khususnya golongan muda,” ujarnya.

Beliau menyeru rakyat Kelantan mengambil peluang tersebut untuk menggunakan kad digital bagi memudahkan masyarakat membeli tanpa menggunakan wang tunai.

Menurutnya, pelancong juga sewajarnya menggunakan kaedah itu untuk berurusan dalam membeli-belah di Kelantan.

Katanya, usaha mewujudkan bank digital patuh syariah itu juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mana peringkat awal pentadbiran pada tahun 1990, Kelantan memindahkan wangnya ke Bank Islam.

“Kelantan juga menubuhkan sistem pajak gadai Islam, ar-Rahnu yang sehingga menjadi pemangkin kepada sistem pajak gadai seluruh seluruh negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/6/2024

- Advertisement -