Hakikatnya rakyat yang biayai ekonomi masa kini

Kerajaan Madani gagal penuhi tadbir urus ekonomi negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tugas besar kerajaan dan pemimpin adalah memastikan makanan mencukupi yakni memakmurkan ekonomi dan juga keamanan daripada ketakutan iaitulah menjamin kedaulatan undang-undang.

Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Sulaiman menyatakan, dua tanggungjawab tersebut dijelaskan oleh para ulama berdasarkan penegasan yang dimandatkan Allah SWT di dalam Al-Quran yakni surah Quraisy.

- Advertisement -

“Isu ekonomi bukan terhenti pada masalah ekonomi sahaja. Kerana masalah ekonomi kesannya melangkaui aspek ekonomi. Ada kesan kepada keluarga kita, kesan kepada kehidupan. Ada kesan kepada masyarakat.

“Ada kesan kepada jenayah sosial, ada kesan kepada kestabilan negara. Ada kesan kepada kedaulatan negara. Jadi bab ekonomi ni tak boleh kita pandang ringan,” ujar beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Tetapi katanya, situasi berlaku di bawah kerajaan sekarang ini ialah apabila harga barangan naik, maka cukai juga naik, sedangkan makanan keperluan iaitu beras bukan sahaja naik harga, tetapi hilang dari pasaran.

“Dan sekarang ini apabila naik (harga) diesel iaitu kos paling penting dalam pengangkutan, maka kesannya bukan pada pengguna diesel sahaja, tapi barang dan perkhidmatan yang dibawa oleh diesel.

“Tak sampai seminggu (pengumuman kenaikan harga diesel), masing-masing (syarikat) post (siar) pelbagai notis kenaikan harga. Pengeluar ni naikkan, syarikat ni naikkan (harga produk mereka). Naiknya bukan satu dua percent, naiknya double digit.

“Dan kesan kepada pengguna akhirnya kita akan tengok tak lama lagi. Maka jelas bahawa inflasi yang akan naik ini umpama wabak, mudah berjangkit,” ujar beliau yang pernah berpengalaman dengan sebuah konglomerat.

Setiausaha Politik Presiden PAS ini berucap dalam Ceramah Isu Semasa pada siri Jelajah Selamatkan Malaysia membawa topik ‘PADU, BUDI, Diesel: Rakyat Terbeban’ di Darul Ummah, Markas PAS Titi wangsa, di sini malam tadi.

Rakyat dan negara berhutang

Terangnya, kebimbangan kini ialah apabila kenaikan harga tidak terkawal yang banyak terjadi itu tidak setanding dengan kenaikan gaji atau pendapatan rakyat hingga menyebabkan kuasa beli semakin merosot.

Dengan kenaikan harga yang berlaku itu jelasnya, menyebabkan rakyat mula rasa terhimpit dan berkira-kira, manakala kerajaan tetap menyatakan ekonomi berkembang, sedangkan ia kerana dipacu oleh kepenggunaan.

Namun Syahir berpendapat, rakyat masih melakukan pembelian kepada banyak perkara, tetapi secara kredit antaranya dengan membuat pinjaman peribadi, terutama pembelian atas talian kini banyak menawarkan ansuran.

Sedangkan menurut beliau, perbelanjaan sedemikian biasanya mengenakan faedah berlipat kali ganda yang walaupun dilihat rakyat membeli dan ekonomi bergerak, tetapi dibimbangi aspek pinjaman dan hutang makin meningkat.

“Maknanya yang berlaku sekarang ni bukannya atas kuasa beli yang sebenar, tetapi terpaksa disokong oleh hutang, hutang kad kredit dan pembelian secara ansuran yang juga bertangguh, yang terpaksa membayar ansuran lebih tinggi di hujung nanti.

“Paling penting ialah kita bimbang pertumbuhan ekonomi kita ni makin terbantut, dia akan counter cyclical. Cara kerajaan mengurus ekonomi ni, dia satu masa dia nak pertumbuhan, tapi satu masa dia menggalakkan inflasi.

“Satu masa dia bagi makan, satu masa dia tarik balik. Begitulah istilahnya. Jadi tak berkembang mana. Dia umumkan kenaikan gaji. Umum dulu, naik bila? Naik Disember. Tak naik lagi (gaji), tetapi barang dah mula naik (harga),” ujarnya.

Bidas beliau, tindakan dibuat kerajaan itu adalah saling berlawanan dan bercanggah yang menyebabkan ekonomi negara tidak dapat pergi jauh dan memberi kebaikan kepada rakyat secara umumnya.

Malah menurutnya lagi, kenyataan untuk kurangkan hutang kerajaan belum tentu dapat direalisasikan kerana angka yang dilihat daripada suku ke suku tahun menunjukkan defisit semakin meningkat.

Kerajaan gagal urus ekonomi

Bahkan Syahir turut menempelak tadbir urus kerajaan kini yang dilihat tidak ada satu usaha untuk berjimat langsung, sebaliknya kerajaan semakin berbelanja misalnya ketika mengurangkan subsidi, terpaksa memberi bantuan lain.

Perkara itu ujarnya, tidak termasuk projek-projek infrastruktur dan pembiayaan lain, sedangkan keadaan menunjukkan kerajaan kini tidak mempunyai wang, yang akhirnya semua masalah itu akan menimpakan beban kepada wang rakyat.

Sedar atau tidak katanya, kerajaan sekarang ini sememangnya bergantung kepada rakyat untuk memulihkan ekonomi di mana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini adalah dari perbelanjaan rakyat.

Jelasnya, rakyat bukan sahaja terpaksa berbelanja untuk memenuhi keperluan sendiri, malah kejatuhan Ringgit juga terpaksa menggunakan pelaburan daripada dana rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain terangnya, dana daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta mungkin segala pelan pelaburan keuntungan luar yang digalakkan diminta untuk dibawa balik supaya ada permintaan pertukaran wang asing.

“Jadi duit rakyat digunakan. Rakyat dicukai. Simpanan rakyat digunakan sekarang ini. Untuk memastikan mengukuhkan kedudukan Ringgit. Jadi sekarang ini yang berlaku ialah bebanan inflasi, bebanan subsidi.

“(Hatta) kegagalan mereka menyelesaikan masalah penyeludupan pun dibebankan kepada rakyat. Jadi kerajaan sekarang ini memang betul-betul makan budilah kepada rakyat, tapi ketika sama rakyat juga yang kena cukai,” bidasnya.

Sehubungan itu Syahir mengajak semua pihak menyedari bahawa pengurusan ekonomi di bawah kerajaan kini adalah sangat kritikal kerana melibatkan bukan hanya wang Ringgit atau defisit hutang kerajaan, tetapi mengenai kehidupan rakyat.

Iaitulah jelas beliau, berkait mengenai diri individu, keluarga, masyarakat serta masalah-masalah sama ada sosial mahupun jenayah yang menjadi kebimbangan berputar dalam kalangan rakyat di negara ini. – HARAKAHDAILY 15/6/2024

- Advertisement -