D-8 perlu ke hadapan menyelesaikan pembunuhan di Gaza

Menteri Luar negara Kumpulan D-8 yang menghadiri mesyuarat di Istanbul, Turkiye.
- Advertisement -

SEKALUNG tahniah diucapkan buat Turkiye dan Presidennya Recep Tayyib Erdogan kerana telah berjaya mengadakan Mesyuarat Khas Menteri Luar negara Kumpulan D-8 pada 8 Jun lalu yang bertempat di Istanbul, Turkiye bagi membincangkan situasi yang semakin meruncing berikutan perang di Semenanjung Gaza.

Ia dihadiri oleh ke semua Menteri Luar negara Kumpulan D-8 yang terdiri dari Turkiye, Iran, Mesir, Bangladesh, Pakistan, Malaysia, Nigeria dan Indonesia dengan Malaysia diwakili oleh Dato’ Seri Mohamad Hasan. Natijahnya; mesyuarat ini amat kena pada tempat dan masanya kerana di kala ini nasib rakyat Palestin seolah-olah tidak terbela dan dibiarkan diratah habis-habisan oleh rejim Zionis Israel.

- Advertisement -

Sejak 7 Oktober tahun lalu setelah berlangsungnya “Taufan Al-Aqsa”, serangan ganas dan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza telah mengakibatkan lebih 37,000 warga Semenanjung Gaza terkorban dan lebih 83,000 yang lain cedera, infrastruktur awam dan keseluruhan Semenanjung Gaza hampir musnah. Kekejaman yang berlaku mendapat perlindungan sepenuhnya daripada sekutu Barat khususnya Amerika Syarikat dengan alasan dangkalnya untuk mempertahankan diri.

Tidak hanya di Semenanjung Gaza, rejim Zionis Israel turut melakukan serangan, menangkap dan membunuh warga Palestin di Tebing Barat serta menceroboh negara-negara lain seperti Lubnan, Syria dan Iraq. Serangannya ke atas Kedutaan Iran di Damsyik, Syria dua bulan lepas hampir mencetuskan perang yang lebih besar di Asia Barat.

Setelah beberapa kali berlangsungnya Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB bagi mengadakan gencatan senjata dan menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza, tiada satu pun membuahkan hasil apatah lagi Amerika Syarikat yang merupakan sekutu kuat rejim Zionis Israel menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang sebarang resolusi dilaksanakan. Ia sekali gus memberi lesen kepada rejim Zionis Israel untuk bermaharajalela melakukan pembunuhan.

Liga Arab mahupun OIC yang sepatutnya menjadi platform untuk membantu warga Palestin bagi menghentikan kekejaman rejim Zionis Israel kelihatan tidak bermaya dan hanya mampu melihat sahaja kekejaman yang berlaku tanpa tindakan yang sewajarnya.

Tekanan dan desakan yang dikenakan ke atas rejim Zionis Israel oleh masyarakat antarabangsa juga tidak mampu menghalang kekejaman dan keganasan regim Zionis Israel berikutan sokongan padu yang diberikan oleh kuasa-kuasa besar khususnya dari Barat sama ada sokongan moral, bantuan kewangan mahu pun persenjataan yang melimpah-ruah.

Oleh itu adalah tepat pada masanya, kumpulan negara-negara Islam membangun muncul sebagai blok baharu yang berfungsi sebagai kumpulan pendesak mahu pun mediator bagi menghentikan kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza oleh rejim Zionis Israel yang diumpamakan lebih buruk dari Perang Dunia Kedua mahu pun “Holocaust” oleh Nazi di Jerman.

Kumpulan D-8 perlu memastikan bahawa ia senantiasa menjuarai isu-isu Palestin mahu pun isu-isu sejagat baik kemanusiaan, ekonomi dan perpaduan yang membabitkan dunia Islam untuk terus kekal relevan dan menjadi peneraju kebangkitan dunia Islam di seluruh dunia. D-8 perlu terus kekal aktif sepanjang masa dan bukan bermusim bagi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan dunia Islam di seluruh dunia terus kekal diperjuangkan.

D-8 adalah gagasan yang telah dicetuskan oleh Almarhum Profesor Nejmuddin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turkiye pada pertengahan 1995-1997 dan merupakan arkitek utama penubuhan D-8 iaitu gabungan negara-negara Islam untuk membangunkan hubungan pelaburan dan ekonomi. Antara resolusi yang telah disepakati ketika itu ialah untuk mewujudkan mata wang khusus perdagangan antara negara-negara Islam iaitu Dinar Emas.

Menariknya cetusan idea Almarhum Profesor Nejmuddin Erbakan ini diakui sebelum diwujudkan matawang Euro antara negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Ini menunjukkan pandangan jauh beliau dalam usaha untuk menyatukan Dunia Islam dengan dimulai 8 buah negara terlebih dahulu yang mempunyai kekuatan masing-masing iaitu Turkiye, Indonesia, Pakistan, Malaysia, Mesir, Iran, Bangladesh dan Nigeria.

Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatannya ke Turkiye pada tahun 2019 ketika menjadi Perdana Menteri dalam satu sidang medianya bersama Recep Tayyip Erdogan menyatakan bahawa Malaysia, Pakistan dan Turkiye perlu mengeratkan hubungan baik dari sudut politik mahu pun ekonomi dan menjadi suara kepada dunia Islam bagi menghadapi cabaran geopolitik semasa dunia. Ternyata adalah amat benar pandangan beliau kerana berdasarkan situasi semasa, D-8 sewajarnya menjadi peneraju dan suara umat Islam di seluruh dunia.

Sewajarnya kumpulan D-8 kembali mengadakan sidang kemuncak yang jauh lebih besar dengan menjemput semua negara dunia Islam dan para cendiakawan bagi membincangkan keadaan semasa dunia Islam khususnya perang di Semenanjung Gaza ketika ini termasuk cabaran geopolitik yang perlu dihadapi pada masa hadapan. Berdasarkan keadaan semasa, tentunya cabaran yang lebih besar bakal dihadapi dan memerlukan kesepakatan dan perpaduan di kalangan Dunia Islam bagi mengharunginya.

Dalam ingatan saya, kali terakhir diadakan sidang kemuncak seumpanya ialah “KL Summit” yang diadakan di Kuala Lumpur pada 19-21 Disember 2019 yang menghimpunkan ramai pemimpin negara dunia Islam dan para cendiakawan Islam dari seluruh dunia.

Saya turut berkesempatan menyertai sidang kemuncak tersebut bersama delegasi PAS dan pada hemat saya sidang kemuncak tersebut berjaya mencapai objektifnya.

Sesungguhnya menjadi harapan besar agar segala deklarasi yang dinyatakan dalam Mesyuarat Khas D-8 baru-baru ini akan berjaya direalisasikan dan Palestin bakal bebas dan merdeka dari cengkaman rejim Zionis Israel. Semoga kumpulan D-8 berjaya menjadi kuasa baharu dalam membela nasib rakyat Palestin dan masa depan umat Islam di seluruh dunia.

Al-Fatihah buat Almarhum Profesor Nejmuddin Erbakan, semoga beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. – HARAKAHDAILY 15/6/2024

- Advertisement -