KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani disifatkan telah membuat banyak keputusan dan pelaksanaan yang tidak berdasarkan perancangan dan persiapan rapi, sebaliknya sekadar terlintas dan hendak tunjuk hebat masing-masing.
Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, malah pemimpin kerajaan hari ini masih bersikap seperti pembangkang hingga membangkang pelaksanaan oleh pemimpin atau kementerian lain di bawah kerajaan sendiri.
Sedangkan tegasnya, kerajaan mempunyai tanggungjawab besar di mana semua yang dilakukan boleh membawa kesan besar kerana ia akan melibatkan ke atas lebih 30 juta rakyat Malaysia lebih-lebih lagi berkaitan ekonomi.
Beliau membangkitkan pertikaian dalam isu pelaksanaan subsidi bersasar di mana bantuan akan diberikan melalui sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dengan meminta pelbagai maklumat daripada pemohon.
Malah, penjawat awam juga menurutnya, dipaksa mengisi PADU walaupun maklumat yang dikehendaki sudahpun ada dalam sistem agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan lain-lain.
Naib Presiden BERSATU ini berkata, namun apabila ramai rakyat tidak mendaftar dan perkara tersebut dipersoalkan media kepada Menteri, maka dinyatakan bahawa pihak kerajaan sudah ada data yang mencukupi.
“Ini apa ini? Nak buat sesuatu ni kena ada perancangan. Kena tahu apa nak buat. Duduk elok-elok bangga dengan PADU tiba-tiba datang pula yang lain. Untuk persediaan kerajaan bagi subsidi diesel ini perlu isi satu lagi sistem iaitu dinamakan BUDI (Bantuan Subsidi Madani).
“Pula dah! Maka dibukalah kaunter-kaunter untuk isi BUDI. Berapa banyak sumber, berapa banyak masa yang telah terbuang? Nak memerintah negara ini memerlukan penelitian,” bidas beliau.
Beliau menyentuh perkara itu ketika berucap dalam Ceramah Isu Semasa pada siri Jelajah Selamatkan Malaysia membawa topik ‘PADU, BUDI, Diesel: Rakyat Terbeban’ di Darul Ummah, Markas PAS Titiwangsa, di sini malam tadi.
Dr Radzi berkongsi semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Ekonomi dan Menteri Kanan Pendidikan di mana walaupun tanpa pengalaman, tapi berusaha memberi fokus dalam kerja dan mencari penyelesaian masalah yang ada.
Beliau juga menempelak tindakan kerajaan mengumumkan sesuatu terlebih dahulu sebelum ada perancangan rapi dan kerangka besar, mahupun mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh sepatutnya.
“Sebab itu nak memerintah negara ni sembang kencang waktu jadi pembangkang boleh. Sembang macam-macam bunyinya hebat. Tetapi masuk dalam kerajaan sebenarnya mereka-mereka ini tak ada kemampuan pun untuk memerintah negara.
“Ini masalah kita. Orang yang bercakap sedap, tak semestinya pandai memerintah. Cakap sembang kencang,” ujarnya turut membidas sikap pemimpin kerajaan yang suka memutar belit kenyataan sendiri.
Dr Radzi menyebut antara terkini apabila pihak kerajaan ke Singapura dan mahu membawa guru dari negara itu untuk mengajar Bahasa Inggeris di negara ini, tetapi apabila menyedari kemarahan rakyat, maka kenyataan berubah kepada sukarelawan.
Jelas beliau, Kementerian Pendidikan sebenarnya tidakpun memerlukan sukarelawan kerana negara mempunyai senarai guru yang masih belum diberikan penempatan untuk mengajar di sekolah-sekolah seluruh negara.
Beliau berkongsi pengalaman menguruskan penempatan para guru menerusi perbincangan bersama pihak Ketua Setiausaha Kementerian dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA).
Akhirnya cerita Dr Radzi, dengan penglibatan sama beberapa kementerian lain juga serta Institut Pendidikan Guru (IPG), penempatan untuk seramai 18,702 guru dapat ditangani ke peringkat sepatutnya ketika itu.
“Jadi bila bercerita nak bawa guru dari Singapura orang marah kemudian tukar esoknya jadi pula bawa sukarelawan pula. Ini apa? Nak bercakap ni nak memerintah negara. Kita bukan nak sembang sekadar nak sembang.
“Dan jangan ingat orang luar, investors (pelabur) tak tengok. Investors tahu bahawa kerajaan yang ada pada hari ini tak cukup flying hours. Itu satu hal. Tapi malas. Perasan bagus. Tak nak belajar. Tak nak meneliti,” tempelaknya. – HARAKAHDAILY 15/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!