SRIAT kekal unggul di pentas MPPADNI 2024

- Advertisement -

PADANG BESAR: Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT) mengekalkan kejuaraannya dalam pertandingan nasyid pada Mahrajan Program Pembangunan Adab dan Nilai (MPPADNI) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seri Perlis, Kangar semalam.

- Advertisement -

SRIAT malah turut menggondol emas (johan) bagi acara taranum al-Quran lelaki dan perempuan, serta menjadi platinum (naib johan) hafazan al-Quran lelaki dan perempuan, sementara acara khat memperoleh gangsa (ketiga) juga bagi lelaki dan perempuan.

Pertandingan untuk sekolah-sekolah rendah peringkat Pusat Kecemerlangan Pendidikan (PKP) Kumpulan B bagi tahun 2024 ini menyaksikan SRIAT berterusan menempa kejuaraan dan anugerah berprestij sebagaimana diraihnya dalam tahun-tahun sebelum ini.

Untuk rekod, SRIAT merupakan Naib Johan MPPADNI peringkat PKP Padang Besar pada 2019, Johan MPPADNI peringkat PKP Padang Besar pada  2020 dan 2023, serta Johan Ihtifal Kelas Asas Fardhu Ain (KAFA) peringkat negeri Perlis pada 2023.

Guru SRIAT, Ustaz Muhammad Amir Firman Abdul Zainol berkata, kemenangan itu adalah hasil komitmen para pelajar yang giat berlatih dan beliau secara peribadi merasa terharu dengan bakat telah diserlahkan oleh mereka pada pertandingan tersebut.

“Mula-mula rasa bersalah sebab hari-hari mai (datang) tanya ustaz bila nak (mahu) berlatih sebab sudah hampir hari pertandingan. Akhirnya tak sampai seminggu latihan, pakai buat sahaja, terkejut sungguh anak-anak mampu buat atas pentas,” ujarnya.

Beliau yang membimbing khusus pasukan nasyid turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru pembimbing lain termasuk semua rakannya yang terlibat membantu para pelajar berkenaan selain banyak memberi semangat kepada mereka.

“Pihak sekolah merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada para peserta, guru-guru pembimbing, jurulatih, ibu bapa, dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam mahrajan ini.

“Keberhasilan ini menandakan dedikasi dan komitmen yang tinggi oleh para pelajar serta sokongan penuh dari pihak sekolah, menjadikan SRIAT sebuah institusi pendidikan yang cemerlang dalam bidang kokurikulum dan keagamaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -