KUALA LUMPUR: “Sepatutnya pihak kerajaan perlu melaksanakan sekatan diesel secara tegas kepada warga asing terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan menarik subsidi (dan penyasaran semula terhadap diesel), dan lihat hasilnya.”
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustaffa berkata, ini kerana langkah tersebut tidak melibatkan kesan kepada harga barangan secara keseluruhan.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa tindakan penarikan subsidi bermatlamat agar tidak terlepas kepada warga asing, dengan menyifatkan ia adalah suatu langkah yang baik.
“Namun begitu, ia boleh diatasi terlebih dahulu dengan penguatkuasan lebih tegas dan sistematik oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK).
“(Impaknya) Penarikan dan penyasaran semula subsidi diesel yang diumumkan oleh Perdana Menteri, pada 9 Jun 2024 bagaimanapun dijangka membawa kesan besar terhadap ekonomi dan kadar inflasi dalam negara ini.
“Tindakan yang dilakukan itu telah memberi kesan domino secara agresif kepada harga barangan dan perkhidmatan,” tegasnya kepada Harakahdaily.
Tambah beliau, Kerajaan Madani telah menghidangkan rakyat di Semenanjung Malaysia dengan kenaikan yang jauh lebih besar iaitu kenaikan sebanyak RM1.20 bagi setiap liter diesel (55.8 peratus) menjadikan harga bahan api itu kini dijual pada harga RM3.35 setiap liter.
“Impak kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang tidak terpandu di semua sektor ekonomi.
“Harga barangan dan perkhidmatan dijangka melambung naik, antara 10 hingga 15 peratus kesan kenaikan diesel.
“Ini berikutan sudah ada syarikat perkhidmatan dan barangan yang telah mengumumkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan mereka,” ujarnya.
Mohd Zai turut berkata, kenaikan ini turut memberi kesan besar kepada rakyat khususnya golongan B40.
Selain itu, ia turut memberi kesan kepada pelbagai sektor industri seperti sektor pertanian, perikanan, industri kecil dan sederhana, pelancongan, pembuatan serta penghasilan bahan mentah.
“Jika ini berlaku, semua sektor rantaian ini akan terkesan dan akhirnya ditanggung oleh rakyat di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!