Sediakan penempatan alternatif kepada setinggan

Hendri Hamsah
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) berharap agar kerajaan negeri dapat menyediakan alternatif penempatan yang lebih baik serta program bantuan bagi membantu golongan setinggan.

- Advertisement -

Ketuanya, Hendri Hamsah berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Aliakbar berkenaan pengurusan setinggan di negeri ini.

Katanya, DPPNS berharap agar kerajaan negeri dapat menguruskan isu itu dengan bijaksana, berhemah dan berperikemanusiaan.

“Kami di DPPNS percaya bahawa setiap warga Sabah berhak untuk hidup dalam keadaan yang selesa dan aman.

“Oleh itu, kami menggesa kerajaan negeri untuk mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menangani masalah setinggan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, langkah-langkah pengusiran semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah jangka panjang dan hanya akan menambah penderitaan kepada golongan yang terjejas.

Menurutnya, penglibatan komuniti setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu dioptimumkan bagi memastikan proses itu berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat yang diingini.

Tambahnya, DPPNS menyeru kepada semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu dalam usaha menangani isu itu dengan penuh kebijaksanaan dan berlandaskan prinsip keadilan sosial.

“Kami yakin, dengan kerjasama yang erat antara kerajaan, masyarakat dan semua pihak berkepentingan, masalah setinggan di Sabah dapat ditangani dengan lebih berkesan dan harmoni,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -