Sayu lihat penampilan terkini Faisal Halim

Faisal Halim dalam sidang media di Shah Alam, semalam, 13 Jun 2024.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penampilan  Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim buat kali pertama dalam sidang akhbar, semalam dengan kelihatan luka lecuran dialaminya agak teruk telah menimbulkan rasa sayu.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, beliau berasa sayu apabila melihat penampilan pertama Faisal yang tentunya menjadi penantian kepada penyokong sukan bola sepak negara khususnya penyokong Bola Sepak Selangor.

- Advertisement -

“Sayu menonton sidang media wira kita, Faisal Halim yang lebih mesra dipanggil Mickey, petang semalam,” katanya kepada Harakahdaily.

Walaupun inisiden pahit yang ditempuhi oleh Faisal dan keluarga ini menjadi detik hitam dalam kehidupan beliau dan arena sukan bola sepak negara, Muhammad Hanif berkata, beliau sangat kagum melihat semangat Mickey untuk membuat kemunculan semula dan beraksi bersama skuad pasukan Selangor dan Malaysia.

Justeru, Hanif menyeru kepada semua pencinta sukan bola sepak negara unutk terus mendoakan Faisal dan memberikan sokongan moral agar beliau dan keluarga dapat mengharungi ujian yang berat ini.

“Kita juga berharap agar si pelaku durjana yang membuat perkara terkutuk ini akan segera dihukum mengikut lunas undang-undang.

“Buat Mickey, teruskan berjuang. Rakyat Malaysia bersama anda,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Faisal menjalani skin allograft atau tampalan kulit yang diimport dari Belgium bagi merawat lecur tahap empat dialami dengan anggaran nilai melebihi RM30,000.

Pemain sayap lincah itu akan meneruskan proses pemulihan dan rehibilitasi di lokasi yang dirahsiakan. 

Pemain berusia 26 tahun kelahiran Pulau Pinang yang kehilangan kira-kira empat kilogram berat badan selepas kejadian berkenaan mengakui penglihatannya berada dalam keadaan baik namun memerlukan bantuan cermin mata ketika membaca. 

Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

Seterusnya pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -