LONDON: Parti Reformasi (Reform) United Kingdom yang dipimpin oleh Nigel Farage mendahului parti kerajaan, Parti Konservatif yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Rishi Sunak pada tinjauan pendapat menjelang pilihan raya umum negara itu pada 4 Julai depan.
Tinjauan yang dilakukan oleh syarikat penyelidikan pasaran, YouGov mendapati parti Reform berada di tempat kedua dengan 19 peratus sokongan berbanding 17 peratus sebelum ini, manakala parti Konservatif berada pada tahap 18 peratus sokongan, lapor Reuters.
Parti Buruh yang merupakan parti pembangkang utama negara berkenaan berada di tempat pertama dengan parti yang dipimpin oleh Keir Starmer memperoleh 37 peratus sokongan menjelang pilihan raya umum itu.
Sokongan terhadap parti Reform telah meningkat sejak Farage, yang dikenali sebagai pemimpin yang berjaya membawa United Kingdom keluar dari Kesatuan Eropah (EU) pada 2016, mengetuai parti tersebut awal bulan ini.
“Ini merupakan titik perubahan. Satu-satunya undi yang sia-sia adalah undi kepada parti Konservatif, kita merupakan pencabar kepada parti Buruh dan kita berada di landasan yang tepat,” katanya menerusi siaran video di laman X beliau.
Sementara itu, jurucakap parti Reform berkata, tinjauan yang dilakukan itu tidak menggambarkan sokongan sebenar dalam pilihan raya. Walau bagaimanapun menurutnya, adalah jelas bahawa parti Konservatif telah hancur, sama seperti mereka menghancurkan negara.
“Buat masa sekarang, parti Buruh akan menang, tetapi parti Reform merupakan pembangkang yang sebenar.
“Mereka yang berfikir untuk mengundi parti Konservatif kerana kesetiaan harus berfikir semula. Mereka boleh dan harus mengundi parti yang mempunyai tenaga dan imaginasi untuk mencabar hegemoni parti Buruh,” katanya.
Tinjauan yang dilakukan terhadap 2,211 orang itu dibuat pada 12 dan 13 Jun, selepas Perdana Menteri, Rishi Sunak berjanji untuk memotong 17 bilion pound (RM102 bilion) cukai untuk orang yang bekerja dalam manifesto pilihan raya partinya. -Agensi/HARAKAHDAILY 14/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!