KOTA BHARU: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap disaran menggunakan peluang Pilihan Raya Kecil (PRK) 6 Julai ini sebagai referendum menolak kerajaan PH-BN ekoran kenaikan harga diesel secara mendadak 10 Jun lepas.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pengundi perlu menterjemahkan kemarahan dan protes mereka pada PRK Sungai Bakap bagi mengekalkan kemenangan PN di DUN berkenaan.
“PH turut terkial-kial meletakkan calon, memandangkan sebelum ini calon mereka seorang wanita juga dari PKR. Mungkin mereka ada masalah dalaman.
“Tetapi kita tidak nak ulas tentang body calon, cukup dengan isu diesel sudah memadai untuk rakyat tolak calon PH,” katanya ketika ditemui di sini.
Baru-baru ini, PH mempertaruhkan calonnya Dr Joohari Ariffin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala PN akan mengumumkan calon pada 15 Jun ini.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut.
Nor Zamri daripada PN menentang calon PH Nurhidayah Che Rose pada Pilihan Raya Negeri lepas dan menang dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini dan penamaan calon 22 Jun. – HARAKAHDAILY 14/6/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!