Perunding SkimPAS dilantik di setiap DUN di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP) melantik seorang Perunding SkimPAS (PSK) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan.

- Advertisement -

Pengurus Besar SkimPAS, Abdul Razak Mohamed berkata, usaha tersebut bagi mencapai sasaran caruman di negeri itu seramai 7,000 ahli menjelang tahun 2025.

“Sehingga hari ini kita menerima caruman sebanyak 396 peserta sahaja dari jumlah ahli PAS di Kelantan, jadi setiap DUN ada wakil yang memain peranan untuk mencapai sasaran tersebut.

“Ahli PAS di Kelantan seramai 140,000 orang dan kita target lima peratus sahaja, manakala cawangan PAS di Kelantan ada 1,600 di mana setiap cawangan hanya disasar lima ahli sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Taklimat dan Perjumpaan Pengurus Besar SkimPAS bersama Perunding SkimPAS (PSK) di Wisma PAS Parlimen Kota Bharu semalam.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Dr Rosni Adam dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Kelantan, Rohani Ibrahim.

Abdul Razak juga berkata, Kedah, Selangor dan Perak merupakan antara negeri tertinggi jumlah caruman ahli dalam SkimPAS.

Manakala Kemaman merupakan PAS kawasan yang paling tinggi menerima pendaftaran iaitu 925 diikuti Bukit Gantang (574), Sik (565), Sungai Petani (551) dan Hulu Selangor (517).

“Dengan kerjasama PAS negeri-negeri kita merancang untuk melaksanakan pelan strategik bagi meningkatkan lagi caruman ahli,” katanya.

Sementara itu, Dr Rosni berkata, Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat menyasarkan lebih ramai ahli menyertai SkimPAS dengan pembiayaan sebanyak RM55 setahun.

Menurutnya, caruman itu membolehkan ahli mendapat perlindungan apabila berlaku sebarang musibah dan kecelakaan termasuk kecacatan kekal.

Kata beliau, jika berlaku kematian atau keilatan kekal ahli akan mendapat manfaat RM10,000.

“Usaha yang dilaksanakan untuk menjaga kebajikan ahli PAS bagi mendapatkan perlindungan khairat kematian dan manfaat kemalangan,” ujarnya.

Dr Rosni merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, skim tersebut ditubuh mengeratkan hubungan persaudaraan Islam, menjaga kebajikan ahli selain membelanja rezeki jalan Allah.

Beliau berkata sejak ditubuhkan pada tahun 2018, pihaknya membelanjakan kira-kira RM4.5 juta bagi melaksanakan kebajikan kepada 737 ahli yang ditimpa kemalangan. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -