Penyasaran harga diesel beri kesan sosial hidup rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lajnah Kebajikan dan Keprihainan Sosial PAS Pusat (LKKSPP) memantau peningkatan kos sara hidup dan implikasi bebanan rakyat susulan subsidi diesel dihapus kerajaan Madani.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dr Rosni Adam berkata, penyasaran harga diesel memberi kesan sosial dengan kenaikan harga barang keperluan harian.

“Kenaikan harga diesel memberi kesan berantai dengan peningkatan harga barangan. Kita sedang merangka inisiatif untuk membantu keluarga yang terjejas,” katanya ketika ditemui selepas Taklimat SkimPAS di Wisma PAS Parlimen Kota Bharu semalam.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Kelantan Rohani Ibrahim dan Pengurus Besar SkimPAS, Abdul Razak Mohamed.

Rosni yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, pihaknya akan menubuh jawatankuasa (taskforce) bagi menangani situasi tersebut yang membelenggu kehidupan rakyat.

Menurutnya juga pengalaman PAS melaksanakan kerja-kerja kebajikan termasuk ketika berada dalam kerajaan Perikatan Nasional akan diimplementasikan sepenuhnya.

“Pertama sekali kita kena ada satu taskforce supaya dapat lihat macam mana boleh membantu rakyat yang terkesan, insya-Allah kita akan wujudkan satu jawatankuasa tidak lama lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -