Mitos teori kenaikan harga bahan api

Muiz Mahyuddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Teori bahawa kenaikan harga bahan api atau minyak tidak akan mempengaruhi kenaikan harga barangan ternyata hanyalah mitos.

Ini kerana menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam, Muiz Mahyuddin, pada tahun 2010, walaupun harga minyak dinaikkan sebanyak lima sen sahaja untuk setiap liter, tetapi ia telah melonjakkan Indeks Harga Pengguna dan Pengeluar pada kadar 3.5 peratus dan 14.3 peratus pada waktu itu.

- Advertisement -

“Maka, sudah pasti kenaikan mendadak harga diesel baru-baru ini dikhuatiri memberi kejutan ekonomi kepada negara yang bakal menghimpit kehidupan rakyat.

“Alasan kerajaan menarik semula subsidi sedia ada untuk mengelakkan golongan Maha Kaya dan warga asing terus menikmati subsidi sangat tidak masuk akal,” katanya.

Namun sebaliknya menurut beliau, penarikan semula subsidi ini sebenarnya lebih menekan kehidupan rakyat terbanyak, malah angka kehilangan hasil kerajaan sebanyak kira-kira RM7 bilion akibat penyeludupan amat pelik.

“Jika sebesar ini angka ketirisan yang berlaku, adakah pihak penguatkuasa hanya duduk diam sahaja membiarkan ia berlaku? Sudah tentu tidak,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Hulu Selangor berkata, pada saat ini, pemain-pemain industri mula menggunakan kesempatan yang ada untuk menyemak semula dan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan masing-masing.

Menurutnya, ada yang menaikkan harga kerana terpaksa menyerap bahan kos yang semakin meningkat, ada juga yang sengaja menaikkan harga kerana mahu ‘menangguk di air yang keruh’.

“Persoalannya, siapa yang bakal menyerap kesan kenaikan harga ini? Sudah tentu rakyat yang menjadi mangsa.

“Walaupun kerajaan memperkenalkan BUDI Madani dan ‘fleet card’ kepada rakyat, realitinya kenaikan mendadak harga diesel ini telah mencipta kejutan ekonomi.

“Bagaimana kerajaan dapat menjamin harga barang tidak naik, sedangkan kerajaan pun masih terkial-kial untuk memastikan beras tempatan berada di pasaran,” tegasnya.

Oleh itu, beliau sebagai wakil rakyat yang mewakili rakyat bagi kawasan Hulu Bernam meluahkan kekecewaan dengan tindakan kerajaan yang terburu-buru dan tidak memikirkan kesan jangka panjang terhadap peningkatan harga diesel ini kepada harga barangan.

“Sudah pasti rakyat kecewa dan bosan dengan sikap pemimpin kerajaan yang mungkir dengan janji-janji politik mereka sebelum ini. Rakyat sedang menilai,” katanya. –HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -