Kes Faisal Halim: Pelaku perlu dibawa ke muka pengadilan

Abu Umair Jamaludin (kiri) dan Faisal Halim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sungguh menyentuh jiwa.”

Itu perasaan yang disuarakan oleh Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor, Abu Umair Jamaludin tatkala melihat dan mengikuti sidang media bintang bola sepak kebangsaan dan Selangor, Faisal Halim semalam.

- Advertisement -

Beliau bersama-sama Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam sekeras-kerasnya apa-apa tindakan zalim kepada atlet-atlet negara khususnya kepada Faisal Halim.

“Saya percaya seluruh rakyat Malaysia turut merasai perkara yang sama, betapa kejadian ini telah memberi trauma yang teruk kepada beliau dan keluarganya,” katanya.

Tambah beliau, karakter pemain bola sepak itu yang peramah serta mudah bergaul sangat disenangi oleh semua orang, yang mana sudah pasti tragedi malang itu akan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada dunia bola sepak negara.

“Pelaku yang telah menyimbah asid ke tubuh pemain kebangsaan berusia 26 tahun ini perlu dibawa ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

“Tindakan sebegini tidak dapat dimaafkan kerana asid bukan sahaja boleh membawa kepada kecederaan kekal, bahkan boleh membawa maut.

“Di mana hati perut pelaku sehingga sanggup memusnahkan kehidupan orang yang tidak bersalah?” soalnya.

Tambah Abu Umair lagi, Faisal Halim merupakan pemain bola sepak yang sangat berbakat dan telah mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Insiden yang berlaku kepadanya sedikit sebanyak telah merencatkan corak permainan pasukan kebangsaan dalam kelayakan Piala Dunia baru-baru ini.

Oleh yang demikian, beliau mendoakan agar Faisal Halim dapat kembali ke padang dan terus cemerlang berbakti di kancah bola sepak tanah air tercinta ini.

“Semoga dipermudahkan segala urusan beliau sekeluarga dengan diberikan kesembuhan fizikal dan mental. 

“Kita juga berdoa agar negara kita Malaysia dilindungi dari ujian dan malapetaka yang buruk,” katanya. –HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -