Keluarga guru kemalangan jalan raya terima faedah PERKESO

- Advertisement -

BACHOK: Keluarga guru bahasa Arab yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya menerima faedah bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

- Advertisement -

Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob berkata, hasil siasatan Skuad Prihatin Sinergi PERKESO negeri mengklasifikasikan kes arwah sebagai di bawah bencana kerja.

Menurutnya waris mangsa akan menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) iaitu pencen bulanan berjumlah RM1,040 sepanjang hayat kedua ibu bapa.

“Dua adik arwah turut menerima faedah sehingga usia 21 tahun,” katanya ketika melawat keluarga arwah di Kampung Kubang Telaga di sini semalam.

Pembayaran diterima menerusi FOT selepas Allayarhamah Nur Ain Fitriah Zakaria, 25, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika pulang kerja pada 9 Jun lalu.

Nora juga berkata, pihaknya turut menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 di samping kotak prihatin kepada keluarga guru berkenaan.

Sementara itu bapa mangsa, Zakaria Mat, 54, berkata, arwah mencarum PERKESO sejak tiga bulan lalu selepas diterima mengajar di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al Hidayah Al Islamiah, Kampung Chap.

Katanya, anak kedua daripada lima beradik itu baru tamat pengajian di Mesir, merupakan seorang yang suka membaca khususnya buku-buku ilmiah.

“Arwah tak banyak cakap, biasa kalau lepas sekolah memang dia terus pulang ke rumah, bagaimanapun kami reda dengan pemergian arwah,” katanya.

Ahad lalu Nur Ain terbabit kemalangan jalan raya dengan sebuah lori di Kampung Kubang Telaga kira-kira hanya 1.8 kilometer daripada rumah keluarganya.

Allahyarham ketika kejadian dalam perjalanan pulang dari sekolah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -