Kebodohan apakah ini Rafizi?

- Advertisement -

“HARI ini kita menang, esok minyak turun…”

Saya terlibat dalam sektor perladangan selama 38 tahun. Kami di ladang menggunakan diesel pada harga industri untuk kilang, jentera berat , ‘water pump’, set generator dan berbagai-bagai lagi. Biasanya kami membelinya terus dari Shell atau Petronas.

Tetapi ada sesetengah syarikat mereka membeli dari pihak ketiga, biasanya pembekal yang dilantik oleh syarikat pengeluar minyak.

Harga industri memang mahal. Kami tidak pernah membeli minyak diesel mahupun petrol subsidi. Malah ia memang tidak boleh dan menyalahi undang-undang.

Kalau ‘Raja Formula’ Rafizi berkata ketirisan paling besar adalah minyak diesel subsidi ‘disedut’ dan dipakai oleh industri, soalan saya: Macam mana ianya berlaku? Di mana peranan penguat kuasa?

Bagaimana tahun 2023 ketirisan berlaku dengan begitu tinggi di luar kawalan berbanding tahun 2019? Ini seperti yang disebut oleh YB Teo Nie Ching dalam podcast beliau bahawa pengunaan diesel sangat tinggi dan tidak selari berbanding pertambahan kenderaan.

Apakah distributor yang seleweng minyak subsidi dan jual pada harga industri dengan sedikit diskaun untuk dapat untung besar ? Kalau sekiranya ini berlaku, volumnya memang  sangat besar.

Sekali lagi, di mana peranan agensi penguatkuasa kalau ianya benar-benar berlaku? Mengapa dosa dan angkara industri harus dipikul oleh rakyat biasa? Semua ini belum terjawab dengan sempurna oleh ‘Raja Formula’.

Seperti biasa mereka mencari kambing hitam. Kali ini beliau berpusing-pusing menuding jari kepada nelayan pula. Kononnya pakai skid tank.

Sepatutnya Kerajaan menambah lagi kekuataan penguatkuasa. Kalau kita boleh halang kenderaan luar menggunakan RON95, kenapa kita tidak boleh halang industri guna diesel subsidi kalau dibeli dari stesen minyak dan sebagainya?

Kalau minyak subsidi dibeli secara pukal, tentunya ia dibeli dari depoh minyak atau distributor berlesen. Kalau Kerajaan boleh mengesan pergerakan lori tanker membawa petrol dan diesel menggunakan GPS mana mungkin penyeludupan minyak subsidi boleh berlaku secara besar-besaran di dalam sektor industri?

Jika inilah yang berlaku, sudah tentu adanya orang dalam dan dibuat secara terancang. Inilah sepatutnya menjadi fokus kerajaan. Bukan dengan menaikkan harga diesel dan beri RM200 yang akhirnya memberikan kesan domino kepada kenaikan kos sara hidup dan rakyat jadi mangsa.

Sekiranya mereka berlaku jujur menerangkan formula-formula berkaitan subsidi bersasar sewaktu jadi pembangkang sudah tentu rakyat tidak melenting apabila rasionalisasi subsidi dibuat.

Rakyat jadi marah kerana mereka yang berjanji ingin menurunkan harga minyak sehingga berguling di atas jalan raya semasa jadi pembangkang. Sebaliknya setelah jadi kerajaan semua janji mereka langgar atau dalam bahasa paling mudah ‘menipu rakyat’ atau bahasa gaul atau netizen disebut ‘kencing’.

Cuma kebimbangan saya, apakah ada kemungkinan negara sedang menuju ke arah melaksanakan Dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) iaitu penghapusan subsidi?

BAKRI JAMALUDDIN
Ahli Parlimen Tangga Batu
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -
- Advertisement -