Aidiladha: Aliran trafik mula perlahan

Tangkap layar paparan CCTV Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Plaza Tol Sunway ke Kewajipan pada hari ini, 14 Jun 2024, menunjukkan trafik bergerak perlahan susulan orang ramai mula bercuti dan melakukan perjalanan pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha, Isnin, 17 Jun kelak, (FOTO: LLM)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aliran trafik dijangka meningkat susulan pengguna jalan raya mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha pada Isnin (17 Jun) ini.

Merujuk kepada laman sesawang paparan kamera litar tertutup (CCTV) lebuh raya melalui portal Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), didapati setakat jam 4 petang hari ini, jumlah kenderaan semakin meningkat dan trafik di beberapa lebuh raya utama bergerak sedikit perlahan.

- Advertisement -

Selain itu, aliran trafik Lebuhraya KL-Karak (KLK) menuju ke Pantai Timur juga perlahan bermula dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah.

Bagi aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dilaporkan lancar untuk dilalui setakat ini. Namun, trafik bergerak sedikit perlahan di LPT2 iaitu Plaza Tol Kuala Terengganu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi melancarkan pergerakan trafik di lokasi kritikal sempena sambutan Aidiladha, bermula 14 hingga 18 Jun ini.

PLUS berkata, ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan sedia ada dibuka untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya. – HARAKAHDAILY 14/6/2024

- Advertisement -