‘Temberang akhirnya terserlah apabila PMX gagal…’

Muhammad Hanif (kanan) dan Anwar Ibrahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kebanyakan rakyat memberi respons negatif terhadap isu penarikan subsidi diesel yang diumumkan dalam tempoh begitu singkat.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, saban hari rakyat mula mempersoalkan kompetensi dan kemampuan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) dalam memimpin negara ini.

- Advertisement -

Menurutnya, merujuk kepada kajian QGen Analysts yang melaporkan bahawa 98 peratus komentar di Facebook menunjukkan reaksi negatif terhadap Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), manakala di X pula sebanyak 65 peratus dan Tiktok pula mencecah 90 peratus.

“Sentimen negatif dan ketidakpuasan hati rakyat sedang mendominasi di luar sana dengan kadar kenaikan yang mendadak sebanyak 56 peratus secara jelas sedang membebani rakyat.

“Perkara ini tidak hanya terhenti di situ oleh kerana kebimbangan rakyat terhadap kesan rantaian kepada kos sara hidup akibat kenaikan harga diesel ini mula dirasai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Janji-janji kosmetik Anwar

Beliau menyatakan, sektor pengangkutan antara yang terawal menerima kesan ini dan mula menyemak kadar caj yang dikenakan seperti perniagaan pengeluaran konkrit dan penarikan kenderaan. 

“Syarikat-syarikat perkhidmatan bas ekspres sudah mula menyuarakan kebimbangan dan dilema untuk semakan semula harga perkhidmatan bas ekspres. Harga tiket sudah tentu akan melambung. 

“Begitu juga dengan harga bahan mentah yang sudah tentu akan naik kerana perlu menampung kos logistik yang semakin meningkat susulan penyelarasan subsidi ini,” ujarnya.

Beliau berkata, PHBN perlu sedar bahawa rakyat sedang menilai ‘janji-janji kosmetik’ yang pernah diungkapkan oleh Anwar Ibrahim.

“Seawal tahun 2008 lagi PMX sudah berjanji untuk turunkan harga minyak dalam masa 24 jam sekiranya dilantik menjadi Perdana Menteri. 

“Diratibnya modal tersebut sehinggalah sekali lagi ketika Kongres PKR Julai 2022, PMX menyebutnya di hadapan pemimpin dan penyokong PKR. 

“Namun temberang akhirnya terserlah apabila PMX gagal menunaikan apa yang dijanjikan dan rakyat sedang merasai penderitaan di bawah beliau,” katanya.

Tatkala Anwar, Rafizi jadi pembangkang

Terdahulu, Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang merupakan portfolio utama bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut merupakan antara individu paling lantang menentang kenaikan harga bahan api.

Beliau malah, cukup popular dengan ucapan tegas yang meyakinkan rakyat ketika menjadi pembangkang dahulu dengan janji menurunkan harga bahan api petrol dan diesel dalam masa kurang 24 jam sekiranya diangkat sebagai kerajaan.

Bagaimanapun ketika Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menjadi kerajaan, beliau memberi alasan bahawa harga bahan api tidak dapat diturunkan kerana beliau belum dilantik sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Namun kini, setelah lebih setahun beliau sebagai Perdana Menteri, tiada sebarang langkah dibuat untuk menurunkan harga petrol dan diesel, sebaliknya kerajaan beliau merancang ke arah mengurangkan subsidi berkenaan.

Antara pemimpin kerajaan kini yang turut lantang mengecam rancangan pemansuhan subsidi terutama ketika zaman Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak termasuklah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang merupakan Naib Presiden PKR pada ketika itu. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!