Tangguh dulu rancangan mansuh subsidi petrol

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Kerajaan digesa agar menangguhkan pelaksanaan pemansuhan subsidi petrol yang dijangka menyusuli pemansuhan subsidi diesel yang telahpun bermula Isnin lepas.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, gesaan ini dibuat memandangkan kesan menakutkan yang sedang berlaku akibat pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Bila sebut soal petrol yang mana ia lebih banyak digunakan rakyat, tangguhlah dulu sebarang penarikan subsidi, kenaikan harga petrol, penyelarasan, penyasaran, atau apa pun namanya.

“Teliti betul-betul sebelum bercadang untuk melaksanakan apa-apa yang berkaitan selepas ini. Kesan daripada ‘domino effect’ diesel ini dah mula menakutkan.

“Kalau petrol dan lain-lain mula naik lagi, kita pun tak tahulah apa lagi yang boleh diharapkan Kerajaan Madani PMX ni,” katanya kepada Harakahdaily semalam.

Tambahnya, terdapat banyak kelemahan dan kecacatan dalam pelaksanaan SKDS yang mewujudkan kekalutan dalam kalangan orang ramai dan juga di pihak industri.

Kata beliau, kenyataan yang dibuat pemimpin kerajaan yang mengakui terlepas pandang isu penanam sayur di Cameron Highland dalam isu ini memberi gambaran bahawa terdapat kelemahan dalam pelaksanaan polisi tersebut.

“Ini menunjukkan satu perancangan yang tidak terancang oleh pihak kerajaan, oleh pihak kementerian sendiri bila mana melaksanakan terdahulu dengan membiarkan adanya kelompongan.

“Tidak ada pelaksanaan yang teliti, perancangan yang teliti. Ini suatu yang jelas menunjukkan lemahnya Kerajaan Madani. Apa sebenarnya Menteri Kewangan buat?

“Sebab itu kalau kita nak panjangkan perbincangan ni kita sebut lama dah, (jawatan) Menteri Kewangan kena bagi orang lain. Jangan bagi Perdana Menteri,” ujarnya sinis.

Mengulas isu subsidi terlepas kepada warga asing yang menjadi salah satu alasan kerajaan untuk melaksanakan polisi itu, beliau berkata tindakan pimpinan kerajaan amat berlainan dengan segala mereka perjuangkan semasa menjadi pembangkang.

“Kita boleh rujuk semula pandangan awal mereka (sama ada) Rafizi atau Anwar Ibrahim, bila mana sebut fasal subsidi ni. Sebagai contoh (dahulu) Rafizi mendakwa yang paling penting adalah penguatkuasaan berkaitan warganegara asing ambil subsidi diesel kita.

“Dia sendiri yang sebut (dahulu) yang paling penting adalah penguatkuasaan dan jawapan kepada perkara tersebut. Saya difahamkan telah dijawab sendiri oleh Anwar Ibrahim (pada masa ini) dengan mengatakan kalau nak tunggu penguatkuasaan maka akan ambil masa lebih lama, akan lebih rugi lagi dan sebagainya,” katanya.

Jelas Ustaz Nawfal, jawapan tersebut boleh disifatkan sebagai jawapan yang tidak bertanggungjawab dengan seolah-olah meletakkan isu keselamatan sebagai perkara nombor dua berbanding isu ekonomi.

Sedangkan tegasnya, berbanding isu ekonomi isu keselamatan adalah perkara yang sewajarnya sentiasa menjadi keutamaan dalam sebarang keadaan.

Tambah beliau, dengan membiarkan lemahnya sesuatu penguatkuasaan, itu bermaksud seolah-olah kerajaan sekarang mengkesampingkan urusan keselamatan negara.

Katanya lagi, walaupun tujuan asal penghapusan subsidi ini dikatakan untuk menangani ketirisan subsidi kepada warga asing dan golongan mahakaya, namun ia harus dibuat dengan penilaian yang teliti dan tidak tergesa-gesa.

“Malah kalau kita tengok respons netizen sendiri bila sebut soal RM200 sebagai BUDI Madani tu sendiri bukanlah jumlah yang betul-betul memadai,” kata beliau.

Ujarnya, pemberian bantuan tersebut yang bersifat pukul rata dilihat tidak sesuai dan ia harus diteliti semula pihak kerajaan untuk mendapatkan kaedah terbaik.

“Saya nak sebut terutamanya kepada semua rakyat Malaysia lihatlah sendiri kualiti Kerajaan Madani, kualiti individu-individu yang diagung-agungkan oleh Pakatan Harapan, baik Rafizi mahupun Anwar Ibrahim, memang janji mudah, pelaksanaannya tak teliti.

“Sebab tu janji jangan terlampau membulan bintang, janji jangan terlalu retorik dan bila nak laksanakan teliti betul-betul, buat elok-elok. Sebaiknya kerajaan kena datangkan solusi yang lebih tepat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/6/2024