Perbicaraan Ustaz Yussaine tangguh ke tahun depan

- Advertisement -

KANGAR: Perbicaraan kes melibatkan Mudir Maahad Tahfiz Imam Nawawi (MATIN), Ustaz Yussaine Yahya di Mahkamah Rendah Syariah, di sini ditangguhkan ke Januari dan Februari 2025.

- Advertisement -

Beliauyang juga Yang Dipertua PAS Kangar menghadapi tuduhan menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam melalui penganjuran ceramah agama.

Kes disabitkan di bawah tuduhan mengajar agama tanpa tauliah tersebut didakwa dilakukan di Kompleks Tarbiyyah dan Dakwah Kangar, MATIN pada 30 Mac tahun lalu.

Perbicaraan bermula pada jam 10:30 pagi hingga lebih kurang 1:00 petang di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Yusof Abd Manaf di Mahkamah Rendah Syariah Perlis, di sini hari ini.

Tuduhan tersebut menyatakan bahawa Yussaine menganjurkan ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Anuar Ayub.

Menerusi program ‘Solat Terawih dan Sembang Santai’ tanpa tauliah dari Jabatan Mufti Negeri Perlis itu, beliau didakwa melanggar Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.

Program tersebut juga dianggap bertentangan dengan Titah Rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenaan pematuhan dasar dan peraturan berkaitan hal ehwal agama Islam Negeri Perlis.

Oleh itu, Yussaine dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 kerana menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam.

Pendakwaan diketuai oleh Ketua Pendakwa Syarie, Siti Fatimah Ahmad Maulana, manakala Yussaine diwakili oleh peguam Siti Hajar Ahmad, Nur Iman Nor Azmi, dan Nur Farhana Ideris.

Terdahulu, Yussaine hadir bersama kira-kira 30 penyokong yang berkumpul di pekarangan Mahkamah Syariah sejak jam 9 pagi untuk menunjukkan sokongan sebelum prosiding bermula sejam kemudian.

Suasana di perkarangan mahkamah dilihat terkawal dan harmoni. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -