Peniaga KBC Pengkalan Kubor didedah pemasaran digital

Wan Roslan Wan Hamat
- Advertisement -

TUMPAT: Peniaga di Kawasan Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubor tidak boleh lagi hanya menumpu jualan mereka secara fizikal di premis semata-mata.

- Advertisement -

ADUN Pengkalan Kubor Wan Roslan Wan Hamat berkata, ini kerana kedatangan pelancong dari luar Kelantan bermusim ketika cuti sekolah dan hujung minggu sahaja.

Oleh itu katanya, peniaga disaran memanfaatkan perniagaan secara ‘online’ bagi memasarkan produk secara lebih meluas.

“Ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk meningkatkan sosioekonomi rakyat dengan tumpuan kepada ekonomi digital.

“Ia selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Negeri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Bengkel Tiktok di Pejabat Khidmat DUN (PKD) Pengkalan Kubor petang semalam.

Bengkel sehari itu disertai seramai 30 peserta yang terdiri daripada peniaga KBC.

Kursus berkenaan diadakan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan PKD Pengkalan Kubor.

Wan Roslan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri menambah, bengkel Tiktok diharap dapat dimanfaatkan peniaga bagi melariskan produk jualan mereka.

Menurutnya juga dengan ada pelan pemasaran digital peniaga dapat menjual produk secara atas talian tanpa pelanggan datang ke Pengkalan Kubor. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -