PAC selesai adakan prosiding hartanah LADA

Mas Ermieyati Samsudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah selesai mengadakan prosiding berhubung tindakan susulan isu pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Pengerusinya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, dalam prosiding selama lebih tiga jam bermula jam 10 pagi yang diadakan di Langkawi semalam, PAC telah mendengar keterangan dan penjelasan daripada Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan (MOF), Datuk Dr Shahrazat Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Haslina Abdul Hamid.

- Advertisement -

“MOF dan LADA telah memberikan keterangan serta penjelasan yang terperinci bagi lima syor yang dikemukakan dalam Laporan PAC berkenaan,” katanya.

Menurut Ermieyati, sempena prosiding tersebut, LADA telah mengatur satu lawatan kerja sehari setengah bagi membolehkan PAC meninjau dan melihat sendiri tindakan susulan yang telah diambil agensi tersebut terhadap syor-syor berkenaan yang terkandung dalam Laporan PAC yang telah dibentangkan di Parlimen pada 19 Mac 2024.

“Hasil lawatan kerja serta penjelasan dan keterangan daripada saksi dalam prosiding tindakan susulan berkenaan, PAC mengambil maklum usaha positif yang diambil LADA dan MOF bagi memastikan Langkawi terus menjadi destinasi geo-pelancongan utama di rantau ini sekali gus menjadi tumpuan pelancong dunia.

“Malah, PAC turut dibawa melawat produk-produk pelancongan baharu selain dimaklumkan perancangan masa depan LADA untuk memperhebatkan promosi Langkawi termasuk menyediakan kemudahan-kemudahan awam yang baharu,” jelasnya.

Beliau menyatakan PAC mengambil maklum setiap penjelasan dan keterangan yang diberikan dua saksi tersebut mengenai isu hartanah Hotel St. Regis dan Kampung Tok Senik.

Kata beliau lagi, PAC akan memberikan ulasan pada setiap maklum balas Kementerian Kewangan (MOF) dan LADA terhadap lima syor berkenaan termasuklah isu Hotel St. Regis  serta Kampung Tok Senik.

“Laporan Tindakan Susulan ini, dijangka dibentangkan di Parlimen pada 27 Jun 2024 dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat yang akan bersidang bermula 24 Jun 2024 dan orang ramai boleh membaca dalam laporan ini dalam laman web PAC di www.parlimen.gov.my/pac.

“Dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat ini, PAC dijangka akan membentangkan lagi tujuh laporan membabitkan tiga (3) PAC serta empat (4) Laporan Tindakan Susulan termasuk Laporan Tindakan Susulan LADA. 

“Dalam perkembangan lain, PAC akan memulakan prosiding membabitkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada 20 Jun 2024 dengan memanggil Kementerian Pertahanan dan pengurusan tertinggi LTAT,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -