KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim meminta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengkaji semula kadar kenaikan harga sewa Pasar Payang 1 yang didakwa meningkat secara mendadak.
Menurutnya, kadar baru yang diisytiharkan sebelum ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan sewa bagi premis yang serupa.
“Mana-mana pun tak dapat sewa macam ini. Walau bagaimanapun, memang mungkin ada sesetengah kumpulan tertentu dari segi pendapatan mereka tak cukup.
“Bagi kumpulan-kumpulan tertentu yang menyatakan bahawa penghasilan mereka daripada jualan tidak mencukupi untuk menampung sewa, yang itu kita perlu kaji,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Tambahnya, ada juga jenis-jenis perniagaan yang sebenarnya selama ini menikmati keuntungan berlipat kali ganda.
“Jadi dengan kadar sewa yang sangat rendah yang diberikan oleh MBKT itu sebenarnya sangat rendah,” ujarnya.
Beliau berkata, dari segi aspek kewajaran, kenaikan sewa itu perlu diteliti oleh MBKT lebih-lebih lagi tidak pernah berubah sejak 10 tahun lalu.
“Sudah lama tak pernah naik. Sekarang dengan kemudahan yang baru, yang sudah tentulah kos operasi, kos penyelenggaraan oleh MBKT adalah lebih tinggi.
“Kerana itu saya akan minta supaya MBKT meneliti permohonan dan rungutan yang disuarakan oleh usahawan. Insya-Allah mungkin ada jalan keluar, ada tempat-tempat tertentu yang mana boleh diberikan keringanan.
“Begitu juga berkenaan kadar bayaran untuk bil papan tanda niaga yang dikenakan caj sebanyak RM1,600, mungkin boleh melalui kaedah pembayaran yang tak memerlukan dibayar secara sekali gus yakni dibayar secara ansuran ataupun diserap dalam sewa bulanan, ditambah sedikit atau ada kaedah yang sesuai. Yang itu sepatutnya boleh diteliti oleh bandar raya,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2024