‘Mansuh subsidi: Tekan atas, bawah yang kena’

- Advertisement -

SEREMBAN: Langkah kerajaan menarik balik subsidi memberi kesan buruk kepada rakyat umumnya, walaupun alasan diberikan adalah untuk mengelakkan subsidi dinikmati golongan mahakaya dan warga asing.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mahfuz Roslan berkata, namun ketika sama masih terdapat banyak pihak tidak termasuk dalam golongan mereka yang layak mendapat subsidi tersebut.

“Tetapi yang jelas kita lihat yang menerima kesan lebih buruk ni adalah rakyat sendiri terutamanya peniaga-peniaga kecil-kecil, peniaga-peniaga pertengahan, pengusaha e-hailing, orang yang buat kereta sewa; yang buat van pelancongan,” ujarnya.

Demikian itu katanya, rakyat kini mempersoalkan sama ada pemansuhan subsidi melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 benar-benar hanya menyasarkan golongan mahakaya dan warga asing.

Jelas Ustaz Mahfuz, mereka itu kebanyakannya menggunakan kenderaan diesel ataupun mengangkut barang menggunakan lori-lori kecil 1 tan atau kenderaan pacuan empat roda.

Menurut beliau, ia memberikan satu impak ataupun kesan yang berat kepada pengguna-pengguna di peringkat bawahan ni.

“Nak tekan peringkat atasan tapi bawahan yang terkesan lebih teruk,” ujarnya ketika dihubungi _Harakahdaily_ hari ini.

Kemukanya, jika benar kerajaan mahu mengekang golongan mahakaya dan warga asing tersebut, sewajarnya pemansuhan subsidi itu hanya melibatkan golongan tersebut sahaja, tidak melibatkan rakyat bawahan.

“Golongan itu (mahakaya dan warga asing) sajalah mereka tarik dan tidak berikan subsidi. Ada pun rakyat ni teruskan (beri) subsidi macam biasa.

“Saya tengok kerajaan ni hanya main sentimen saja atau kerajaan ni tidak tidak memikir secara terperinci, maknanya semberono sahaja apa yang dilakukannya itu,” katanya.

Ujarnya, kerajaan perlu meneliti semula semua perkara dan tidak membuat keputusan sewenang-wenangnya.

“Jadi tak perlulah nak menarik subsidi secara menyeluruh. Fokus kepada syarikat-syarikat sahaja. Ada pun rakyat ini perlu (subsidi),” katanya.

Beliau turut menerima rungutan para peniaga kecil yang menghadapi kesukaran akibat polisi kerajaan ini ditambah dengan bebanan hutang perniagaan sedia ada menyebabkan mereka sangat tertekan.

Ustaz Mahfuz yang juga menggunakan kenderaan pacuan empat roda dengan enjin diesel amat merasai perbezaan yang ketara dari sudut kos bahan api tersebut.

“Saya sendiri juga guna kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton untuk angkat barang, untuk pergi apa program-program.

“Jadi bila mana subsidi diesel ditarik balik harga diesel melambung makna kita terpaksa tambah duit minyak untuk diisu dalam tong minyak tu RM100 lebih,” katanya.

Ujar beliau, bantuan RM200 diberi kerajaan kepada pemilik kenderaan persendirian yang layak sebenarnya tidak memadai untuk menampung kenaikkan kos yang berlaku. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -