KUBANG PASU: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, pihaknya bersedia membuat laporan berhubung salah laku rasuah melibatkan pemimpin PKR dan DAP.
Menurut beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), laporan rasmi perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan bila tiba waktunya nanti.
Beliau yang juga ADUN Jeneri berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Serahan Kunci Projek Rumah Sejahtera di Mukim Binjal, di sini hari ini.
“Bagi depa (mereka) seronok dulu, lompat-lompat, terjun telaga ka apa dulu, bagi depa ralit (leka), lepas tu saya akan buat laporan,” katanya.
Ujar Sanusi, sekiranya laporan itu dilakukan sekarang, kemungkinan mereka sudah bersedia, oleh itu biarkan pihak tersebut bergembira, leka dan lalai terlebih dahulu, sebelum beliau bertindak membuat aduan.
Terdahulu, media melaporkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi mencabar Sanusi itu membuat laporan SPRM berhubung dakwaannya berlaku rasuah melibatkan pemimpin PKR dan DAP hingga menjejaskan pembangunan negeri.
“Jika benar ada orang daripada PKR dan DAP yang ‘pau’ (meminta rasuah) untuk projek dan menjejaskan projek pembangunan negeri, maka panggil sidang media dan namakan mereka,” kata Rafizi menggesa Sanusi membuat laporan SPRM untuk membuktikan perkara itu benar.
Berikutan itu Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat berkata, pihaknya bersedia bertindak sedemikian tetapi akan melakukannya pada masa yang sesuai. – HARAKAHDAILY 13/6/2024