Jokowi rayu warga Indonesia hentikan judi luar, dalam talian

Jokowi dalam sidang media di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia pada 12 Jun 2024. (FOTO: Viva News)
- Advertisement -

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) merayu kepada orang ramai agar berhenti bermain judi sama ada secara luar talian atau dalam talian, kerana ia membahayakan keadaan kewangan dan masa depan mereka.

Beliau turut menyeru rakyat di negaranya supaya menyimpan wang mereka atau menggunakannya sebagai modal perniagaan dan bukannya untuk berjudi, sambil menekankan bahawa kecenderungan seseorang untuk berjudi boleh menyebabkan individu tersebut melakukan jenayah dan keganasan yang boleh mengakibatkan kematian.

- Advertisement -

“Secara khususnya, saya ingin menggesa anda untuk tidak berjudi di luar talian dan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan kenyataan akhbar tentang bahaya perjudian secara dalam talian di Istana Merdeka, hari ini.

Jokowi yang merupakan ketua negara republik itu turut memetik beberapa kes yang berlaku di mana terdapat ramai penduduk yang kehabisan duit dan terjadinya kes perceraian akibat daripada aktiviti perjudian itu.

“Perjudian bukan sekadar mempertaruhkan wang, bukan sekadar permainan yang menyeronokkan dengan hadiah, tetapi ia mempertaruhkan masa depan diri kita, keluarga kita dan anak-anak kita,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan pihaknya akan terus memerangi aktiviti perjudian dalam talian, dengan pihak Menteri Komunikasi dan Informasi negara itu menurunkan lebih 2.1 juta laman sesawang perjudian dalam talian. 

“Pasukan petugas perjudian dalam talian, yang terdiri daripada beberapa kementerian turut akan ditubuhkan tidak lama lagi dalam usaha untuk mempercepatkan pembasmian perjudian dalam talian.

“Kesedaran dan pengetahuan adalah bentuk pertahanan paling penting dalam memerangi aktiviti perjudian.

“Oleh itu, saya mengajak semua ketua agama, ketua masyarakat, dan komuniti untuk mengingatkan dan menjaga antara satu sama lain dan melaporkan sekiranya terdapat tanda-tanda aktiviti perjudian dalam talian,” katanya. – Agensi/HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -