Faisal Halim muncul kongsi perkembangan terkini

Faisal Haim dalam sidang akhbar di Shah Alam, Selangor pada hari ini, 13 Jun 2024,
- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemain Selangor FC dan pemain kebangsaan, Faisal Halim berkongsi perkembangan terkini mengenai tahap kesihatannya selepas menjadi mangsa simbahan asid bulan lalu.

Faisal, 26, mengakui bahawa beliau terpaksa memendam hasrat untuk tidak bermain bola kerana perlu memberi peluang dan ruang kepada proses rawatan dalam tempoh terdekat ini. 

“Saya amat rindukan bola sepak dan mahu bermain dan berlatih. Saya harus fokus kepada pemulihan dan rehabilisasi.

- Advertisement -

“Apabila berada di rumah dan sekadar menonton rakan-rakan di Selangor dan Harimau Malaya bermain, kaki menggigil hati meronta untuk bermain.

“Namun buat masa sekarang fokus utama adalah proses pemulihan sebelum boleh kembali menyertai pasukan seperti sebelum ini, saya harap semua pihak dapat mendoakan saya,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Dalam pada itu, Faisal mengakui beliau sanggup kehilangan gaji berpuluh ribu sebagai pemain bola sepak demi memastikan dirinya dan keluarga selamat. 

Oleh demikian, beliau berharap agar orang ramai dan juga media tidak membuat sebarang andaian melampau terhadapnya. 

“Saya mohon semua pihak berikan privasi dan ruang untuk keluarga saya. Saya berasa sedih dengan apa yang berlaku. Kita tidak boleh ubah perkara yang sudah berlaku, hanya boleh ubah masa depan.

“Harapan saya untuk berbakti buat kelab dan negara, saya harap si pelaku ditangkap dan didakwa. Selamat berjuang buat pasukan. Insya-Allah saya akan kembali buat pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang telah banyak membantu dirinya dan keluarga sepanjang beliau dalam proses pemulihan sejak insiden tersebut.

Terdahulu, media melaporkan Faisal menjadi mangsa simbahan asid yang berlaku di sebuah pusat membeli belah di Petaling Jaya menyebabkan dia mengalami kelecuran tahap empat.

Pemain sayap kebangsaan itu juga perlu menjalani empat pembedahan untuk merawat luka kelecurannya itu sebelum dibenarkan keluar dari hospital pada 25 Mei lalu.

Selepas itu, Faisal menjalani proses pemulihan di lokasi dirahsiakan selain kawalan ketat bagi memastikan keselamatannya terjamin. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -