‘Ekonomi Madani 2023 gagal’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ekonomi tahun pertama (2023) Kerajaan Pakatan Haraoan-Barisan Nasional ( PH-BN) yang dipimpin Perdana Menteri ke-10 (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim menunjukkan kemerosotan atau gagal, meskipun dada akhbar dan paparan media sosial memaparkan puluhan ucapannya kononnya beliau berjaya membawa pulang pelaburan berbilion ringgit.

Profesional Istiqamah dalam kenyataannya berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengeluarkan statistik perdagangan bagi 2023.

- Advertisement -

“Statistik dikeluarkan menunjukkan secara keseluruhan, aktiviti dagangan Malaysia bagi 2023 jatuh merosot berbanding 2022 iaitu eksport menurun 8 peratus; import menurun 6.4 peratus.

“Jumlah dagangan menurun 7.3 peratus serta lebihan dagangan menurun 16.4 peratus. 2023 adalah tahun sepenuhnya di bawah pentadbiran kerajaan Madani. Pemimpin kerajaan Madani tidak boleh menyalahkan orang lain,” jelas kenyataan itu.

Lebihan dagangan atau Balance of Trade (BOT) ujarnya menunjukkan penurunan sebanyak 16.4 peratus dan ini bermaksud pada tahun 2023, kerajaan Malaysia mengimport lebih banyak daripada eksport. 

Secara umum katanya, ia tidaklah bermaksud satu perkara yang buruk, namun menjadi satu persoalan, mengapa saat Ringgit berada pada paras yang rendah, kerajaan Malaysia gagal untuk meningkatkan jumlah eksport negara. 

“Eksport negara menunjukkan penurunan sebanyak 8 peratus. Sepatutnya dalam keadaan Ringgit yang rendah ia menarik pelabur luar untuk berdagang di negara Malaysia. Faktor ini yang perlu dikenal pasti.

“Ada yang menyentuh faktor permintaan China sebagai rakan dagang terbesar Malaysia menurun sehingga menjejaskan eksport. 

“Tanpa menafikan perkara tersebut, menjadi tugas kerajaan Madani untuk meningkatkan sumber dagang daripada pihak yang pelbagai bagi mengurangkan impak daripada situasi dengan negara China.

“Situasi dagangan bagi 2024 tidak boleh dibiarkan sepertimana 2023. Aksi lebih penting dan berkesan daripada retorik dan propaganda media. 

“Maka jelas, setakat ini tahun pertama Ekonomi Madani iaitu tahun 2023, Ekonomi Madani gagal,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/6/2024

- Advertisement -